Header Ads

Loading...

PPBM Gagal Cabar Keputusan RoS Bubar Sementara Parti


KUALA LUMPUR -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) gagal mendapat  kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memohon semakan kehakiman bagi  mencabar keputusan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membubarkan sementara parti itu.

Ini susulan keputusan Hakim Datuk  Wira Kamaludin Md Said membenarkan bantahan awal peguam kanan  Persekutuan Suzana  Atan dan Maisarah Juhari, yang mewakili ketua pengarah itu, Surayati Ibrahim, terhadap permohonan kebenaran yang difailkan Setiausaha Agung PPBM Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Dalam penghakimannya, Kamaludin berkata permohonan yang difailkan pemohon (Dr Shahruddin) bagi mencabar Notis mengikut  Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966, adalah bersifat akademik.


Loading...

Katanya, permohonan kebenaran itu boleh dibenarkan sekiranya pemohon tidak dapat mematuhi Notis mengikut Seksyen 14 (2) atas alasan pemohon  tidak diberi cukup masa dan isu mengundurkan tarikh notis itu menjadi suatu isu.

“Tidak ada lagi isu kerana Notis mengikut Seksyen 14 (2) adalah mematuhi tempohnya,” kata beliau.

Kamaludin berkata, oleh kerana cabaran terhadap Notis mengikut  Seksyen 14 (2) sudah  tidak lagi merupakan suatu  isu atau hanya bersifat akademik, maka sekiranya terdapat sebarang  cabaran, ia mestilah terhadap Perintah  Sementara mengikut Seksyen 14 (5) oleh responden (Surayati).

“Mungkin pemohon akan berhujah bahawa Perintah Sementara mengikut Seksyen 14 (5) itu dikeluarkan secara silap oleh responden kerana seksyen ini telah disalah tafsir. Ia tidak terpakai kerana pemohon telah mengemukakan butiran seperti yang dikehendaki Notis mengikut Seksyen 14 (2).

“Oleh itu, saya berpendapat ini merupakan isu berasingan, yang memerlukan permohonan berlainan bagi mencabar keabsahan keputusan responden mengeluarkan Perintah  Sementara mengikut Seksyen 14 (5),” katanya.

Kamaludin berkata pemohon tidak dibiarkan tanpa mempunyai cara lain, tetapi masih boleh merayu mengikut Seksyen 18 akta berkenaan, atau dalam keadaan tertentu (apabila tiada menteri), boleh memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan itu mengikut Seksyen 14 (5).

Sehubungan itu, kata beliau mahkamah menolak permohonan pemohon bagi mendapatkan kebenaran tanpa mengeluarkan perintah berkaitan kos.

Dalam  permohonan difailkan pada 6 April, PPBM memohon antara lain, perintah melarang responden daripada mengeluarkan secara salah perintah membubarkan parti itu mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan dan perintah melarang sebarang tindakan diambil bagi menghalang PPBM daripada terus wujud sebagai sebuah parti politik yang sah.

Ia juga memohon pengisytiharan  bahawa perintah yang dibuat responden mengikut Seksyen 14(2) supaya  PPBM mengemukakan minit mesyuarat agung tahunan bertarikh 28 Feb 2018 sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan pengisytiharan  bahawa PPBM adalah sebuah parti politik berdaftar dan berhak menjalankan aktiviti untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pada 5 April, PPBM diperintah dibubarkan sementara selama 30 hari kerana gagal mematuhi notis bertarikh 28 Feb yang menuntutnya mengemukakan dokumen berkaitan parti itu dan sekiranya gagal berbuat demikian, parti itu akan dibubarkan secara kekal.

Sementara itu, peguam Rosli Dahlan, yang mewakili PPBM, berkata mereka akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini serta memfailkan permohonan baharu.

-- BERNAMA

No comments

Loading...