Header Ads

Loading...

Manifesto PRU13 BN Negeri Sembilan Tercapai Sepenuhnya - Mohamad


SEREMBAN – Kesemua 44 manifesto atau Aku Janji Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas, berjaya dicapai dalam tempoh lima tahun, kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata meskipun pada peringkat awal, BN negeri menyenaraikan 45 Aku Janji, satu daripadanya terpaksa digugurkan memandangkan ia janji yang bersifat kemahuan dan bukannya keperluan.


Loading...

“Cuma satu saja, dan satu ini pun bukan kita tidak dapat nak selesaikan atau tidak dapat nak buat tetapi memang kita tak nak buat, untuk menjadikan kawasan Masjid Negeri dan kawasan Kompleks Mahkamah Syariah yang lama serta tempat bangunan lama Majlis Agama Islam negeri dan Pejabat Tanah Seremban sebagai pusat ketamadunan Islam...kita ketepikan dahulu kerana itu satu bentuk kemahuan, bukan keperluan.

“Kita merasakan perbelanjaan yang nak kita adakan (untuk membina) pusat ketamadunan itu, ada tempat yang lebih baik untuk (kita belanjakan bagi) mengatasi isu-isu keperluan rakyat. Itu sebabnya kita tidak buat,” katanya dalam temubual khas bersama Bernama di sini.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, bagaimanapun berkata perkara itu tidak akan dimasukkan dalam manifesto BN Negeri Sembilan untuk PRU14 yang akan dilancarkan 21 April ini, sebaliknya diletakkan sebagai projek di bawah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk dilaksanakan.

Antara kandungan manifesto BN Negeri Sembilan itu ialah pemberian insentif kepada anak negeri mendapat ijazah kelas pertama; bantuan kepada anak negeri berjaya memasuki institusi pengajian tinggi; menaik taraf Institut Tahfiz Al-Quran (ITQAN), Gemencheh; memperkasa Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu dan memastikan tiada golongan miskin tercicir daripada mendapat bantuan.

Turut disenaraikan ialah memastikan sifar miskin tegar; cukai tanah nominal untuk sekolah bantuan modal; menambah bilangan rumah mampu milik; memastikan penyelenggaraan dan menambah baik kemudahan jalan raya.

Selain itu, melebar luas wifi percuma (1NS wireless); pembinaan tol baharu Labu-Seremban; mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya dan mewartakan 40 kampung Orang Asli yang belum diwartakan serta menambah baik kemudahan awam dalam bandar dan antara bandar.

-- BERNAMA

No comments

Loading...