Header Ads

Loading...

'Jual Negara Kepada China, Fitnah Jahat Mahu Jatuhkan BN'


SHAH ALAM: Propaganda bahawa BN menjual kedaulatan negara kepada China kembali disebar pihak tertentu demi kepentingan politik, menjelang PRU14.

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, propaganda palsu ini tidak berlandaskan fakta dan angka yang sebenar, tetapi berasaskan fitnah jahat untuk mencipta persepsi negatif kepada BN.

"Jumlah terkumpul pelaburan China (termasuk Hong Kong) di Malaysia setakat 2017 adalah bernilai RM65 billion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kisah terbaharu yang kembali tular di media sosial yang mendakwa BN menjual kedaulatan negara kepada China.


Loading...

Jelas Abdul Rahman, nilai dagangan itu lebih rendah daripada jumlah terkumpul pelaburan Singapura (RM116.3 billion) dan Jepun (RM71.6 billion).

"Jumlah pelaburan China di Malaysia adalah yang ketiga tertinggi di bawah Singapura dan Jepun," katanya.

Justeru katanya, menurut logik pembangkang, kedaulatan Malaysia sepatutnya terjual kepada Singapura dan Jepun dahulu kerana jumlah pelaburan mereka yang lebih besar jika dibandingkan dengan jumlah pelaburan yang dibuat oleh China dalam negara kita.

"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia sudah tentu akan menerima pelaburan dari luar negara tetapi tidak terhad kepada China sahaja," katanya.

Tegasnya, jumlah pelaburan asing terkumpul di Malaysia sehingga 2017 adalah RM565 billion. Pelaburan dari China hanyalah mewakili 11.5 peratus daripada jumlah pelaburan asing di Malaysia.

Katanya lagi, Malaysia juga menerima pelaburan dari negara-negara Eropah seperti Belanda, Switzerland, Jerman, United Kingdom, Denmark dan juga Amerika Syarikat.

Baru-baru ini syarikat Saudi Aramco dari Arab Saudi bersetuju melabur AS$7 bilion (RM27 bilion) di dalam Projek Rapid Pengerang.

"Saya yang terlibat secara langsung di dalam rundingan bersama-sama Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid al-Falih mendapat maklum balas yang positif dari pihak mereka tentang ekonomi Malaysia," katanya.

Oleh itu, beliau menasihati rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati sebelum percaya dan menyebarkan propaganda seperti ini.

"Tidak ada sekelumit pun kedaulatan negara yang akan BN pajakkan kepada mana-mana negara asing.

"Jangan gadaikan masa depan anda dan tanahair yang kita cintai ini," katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...