Header Ads

Buang Undi Hari Rabu Susahkan Mereka Yang Bekerja - Tun M

Foto: Malay Mail Online

PETALING JAYA: Pengundi yang bekerja akan menghadapi kesukaran untuk membuang undi selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari Rabu (9 Mei) sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia sekali gus bukan satu tindakan demokratik kepada pengundi itu sendiri.

Jelasnya, keputusan itu juga akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) dan PH sendiri.


Loading...

"Untuk orang kampung mereka boleh tetapi kalau bekerja susah. Ia juga susah kepada mereka yang tinggal di luar negara.

"Contohnya 500,000 pekerja kita yang berada Singapura akan menghadapi kesukaran untuk mengundi. Ia bukan tindakan demokratik," katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Mesyuarat Presiden PH di sini hari ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Hashim Abdullah pada Selasa turut mengumumkan tarikh penamaan calon pada 28 April.

Bagi pengundian awal pula, tarikh 5 Mei dipilih dan tempoh berkempen bagi PRU14 adalah 11 hari.

Dalam pada itu kata Dr Mahathir, beliau belum memutuskan lokasi untuk bertanding pada PRU kali ini.

"Saya hendak putuskan tetapi keputusan harus diputuskan oleh jawatankuasa, bukan keputusan saya.

"Pilihan saya Langkawi, Kubang Pasu, Putrajaya dan Pekan. Banyak tempat," katanya dalam nada berseloroh.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan Pengerusi PPBM itu sah akan bertanding di Langkawi.

Kerusi Langkawi disandang Datuk Ir Nawawi Ahmad, yang juga Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dengan majoriti lebih 11,000 undi pada pilihan raya umum lima tahun lalu.

No comments

Loading...