Header Ads

Loading...

Ahli Bersatu Keluar Parti, Boikot Calon


ALOR SETAR - Seramai 15 ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bersatu Dun Alor Mengkudu isytihar keluar parti setelah tidak bersetuju dengan pemilihan calon Amanah di Dun Alor Mengkudu, iaitu Timbalan Pengerusi Amanah, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Sehubungan itu, 15 PDM terbabit turut dibubar serta merta selain menyatakan sokongan terhadap calon BN yang akan diketengahkan pada PRU14.

Loading...

Ketua PDM Alor Melintang, Mohd Rizal Zainal Abidin berkata, dianggarkan 4000 ahli parti itu kecewa dan tidak berpuas hati berhubung agihan kerusi Dun dan Parlimen yang diputuskan oleh gabungan Pakatan Harapan (Harapan) Kedah.

“Kami mohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Bersatu, tapi kami kecewa dan terpaksa suarakan hasrat akar umbi. Setelah hampir dua tahun menyiapkan jentera parti serta mempengaruhi dan merekrut sokongan, tiba tiba suara majoriti agar kerusi Dun Alor Mengkudu diberikan kepada calon Bersatu dinafikan,” katanya, pada sidang media, mewakili 15 ketua PDM Dun Alor Mengkudu.

Menurutnya, pihaknya kesal kerana kerusi berkenaan diserahkan kepada calon Amanah yang tidak dikenali dan didakwa gagal memberikan khidmat kepada pengundi di Alor Mengkudu.

“Ini merupakan satu pengkhianatan meskipun sebelum ini telah dipersetujui berhubung agihan kerusi. Ia helah politik yang menjengkelkan dan tidak berprinsipkan keadilan dengan ketepikan sumbangan Bersatu yang bekerja keras selama ini,” katanya.

Mohd Rizal berkata, disebabkan kepimpinan Harapan tidak mengiktiraf sumbangan mereka dalam gabungan itu, empat ketetapan diambil secara konsensus.

“Kesemua 16 PDM Bersatu dibubar serta merta termasuk gerak kerja di Dun terbabit, selain memboikot kerjasama membantu calon Amanah di Dun Alor Mengkudu. Kami juga berikrar untuk mendokong kepimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah selaku Pengerusi BN dan Menteri Besar Kedah,” katanya.

Menurutnya, mereka juga akan membantu kempen untuk memenangkan mana mana calon diketengahkan BN Kedah di Dun Alor Mengkudu.

“Hanya dengan cara ini sahaja nasib pengundi di kawasan ini terbela selari dengan komitmen BN Kedah menerus kemajuan dan menzahir impian kalangan pengundi. Ia juga sebagai pengajaran kepada pimpinan Harapan agar tidak amalkan politik kepentingan kendiri dan sanggup membelakangkan semangat setia kawan yang diikrarkan,” katanya.


Mohd Rizal berkata, setakat ini, kesemua ahli terlibat akan kembali ke parti asal, iaitu Umno dan tidak akan mengundi calon Amanah di Dun terbabit.

“Selepas PDM ditutup, sokongan kami adalah untuk calon BN. Kami juga akan sertai Umno dalam masa terdekat selepas isytihar keluar Bersatu hari ini,” katanya.

Pada sidang media itu, Mohd Rizal mewakili ketua PDM terlibat turut melipat bendera Amanah dan memasukkannya ke dalam kotak sebagai simbolik menolak calon Amanah.

Kesemua ketua PDM kemudian menyarungkan baju T tertera lambang BN sebagai simbolik keluar parti.

- Sinar Harian

No comments

Loading...