Header Ads

67,000 Pemandu Teksi Terima Kad Bantuan


SERDANG – Lebih 67,000 pemandu teksi seluruh negara menerima Kad Bantuan Teksi 1Malaysia yang mengandungi nilai RM800 untuk pembelian petrol atau gas asli (NGV) di stesen minyak Petronas.

Pada majlis penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia itu di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata melalui kad bantuan itu, pemandu teksi juga mendapat kemudahan lain di bawah program kesetiaan Mesra Petronas, termasuk perlindungan insurans kemalangan peribadi sehingga RM50,000.

Loading...


Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, kad itu akan diagihkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama Kementerian Kewangan, dan melibatkan dana sebanyak RM53.6 juta.

“Saya percaya dengan penggunaan kad bantuan itu, ia dapat mengurangkan kos operasi harian dan dengan itu meningkatkan lagi pendapatan,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kad bantuan itu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Majlis itu dihadiri lebih 10,000 pemandu teksi dari seluruh negara. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri; Pemangku Pengerusi SPAD, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.-BERNAMA

No comments

Loading...