Header Ads

Tweet Palsu Mansuh UiTM: Pejabat KM Akan Buat Laporan Polis



Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mejar (B) Zaidi Ahmad hari akan membuat laporan polis hari ini berhubung tweet palsu yang kononnya Lim Guan Eng akan menutup semua kampus Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) di seluruh negara sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menurut Zaidi, beliau terlihat ciapan fitnah itu kira-kira jam 8 malam semalam dan memaklumkan kepada Lim, yang mengesahkan bahawa beliau tidak menghantar tweet seumpama itu.

Lim, malam semalam berada di Shah Alam sempena pelancaran manifesto HARAPAN.


Loading...

"Saya akan membuat laporan polis nanti dan berharap pihak polis akan bertindak terhadap dalang itu, kita tidak tahu identiti orang yang membuat tweet mesej palsu itu," kata bekas juruterbang tentera udara itu pada sidang akhbar di pejabat ketua menteri di bangunan Komtar.

Tweet palsu itu berbunyi: "Antara #ManifestoPH yang kita akan lancarkan adalah langkah penjimatan wang rakyat melalui pemansuhan UITM seluruh negara. Peruntukan itu akan diagihkan sama rata kepada semua University Kerajaan Pakatan Harapan nanti."

UiTM adalah universiti awam yang dibiayai oleh dana kerajaan persekutuan sejak tahun 1956 dengan penekanan untuk membekalkan pendidikan kepada penduduk Melayu di luar bandar.

Tweet palsu berkenaan juga mengunakan alamat Twitter @ cmlimguaneng, dengan foto ketua menteri itu, hampir sama dengan akaun yang sebenar.

Hadir sama pada sidang akhbar hari ini adalah Lim, yang mengesahkan bahawa mesej itu adalah "palsu dan fitnah yang berniat jahat”.

Beliau menggesa pihak polis untuk menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang ingin mencemarkan nama baiknya serta reputasi HARAPAN menjelang PRU14 akan datang.

- Malaysiakini

No comments

Loading...