Header Ads

Tak Sedar Rupanya Sudah Tiga Hari Tinggal Sebumbung Dengan Mayat



GEORGE TOWN – Penemuan mayat seorang wanita yang disembunyikan di sebuah rumah di Flat Green Garden, Air Itam, di sini, sejak tiga hari lalu, mengejutkan tiga penghuni lain di rumah itu.

Mayat wanita berusia 25 tahun itu ditemui disumbat di dalam sebuah almari berkunci oleh dua lelaki warga Nepal yang menghuni rumah terbabit selepas terhidu bau busuk dari ruang tamu.

Lapor Harian Metro, mangsa merupakan wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai Santi Restauli Simbolon telah dipercayai meninggal dunia sejak tiga hari lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, mangsa ialah teman wanita kepada salah seorang penghuni rumah tersebut, yang merupakan seorang warga Nepal dikenali sebagai Sandip Garung.

Bagaimanapun, suspek berusia 27 tahun itu telah menghilangkan diri dan kali terakhir suspek dilihat di rumah tersebut ialah pada Sabtu lalu.

“Mangsa yang bekerja sebagai operator kilang itu dipercayai dibunuh pada Ahad lalu, dengan kali terakhir dia dilihat di dalam rumah terbabit oleh dua rakan serumah teman lelakinya, pada Sabtu.



“Mangsa menetap di tingkat 17 bangunan sama dan mayatnya dikenal pasti melalui tata rias berwarna ungu di bahagian kukunya,” katanya.

Sementara itu, seorang jiran di kawasan flat berkenaan mendakwa sering terdengar pergaduhan dari rumah terbabit setiap kali mereka mabuk.

“Saya sering terdengar pergaduhan di rumah ini, terutamanya ketika mereka mabuk. Bagaimanapun, saya tidak tahu apa punca pergaduhan kerana tak mahu masuk campur,” katanya.

Anuar berkata, motif kejadian dipercayai akibat cemburu, manakala siasatan awal ke atas mayat mangsa tidak menunjukkan sebarang kesan kecederaan di bahagian luar tubuh mangsa.

Mayat wanita itu kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Tambah Anuar Omar, dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun yang juga teman serumah suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments

Loading...