Header Ads

Tak Gopoh Walau Berdepan Perintah Bubar, Kata PPBM



PETALING JAYA: PPBM akan mengambil masa secukupnya untuk mempertimbangkan notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengarahkan parti menyerahkan maklumat atau perintah bubar dikeluarkan.

Ketua Penerangan Datuk Kamarudin Md Nor mengesahkan notis JPPM sudah diterima dan berkata PPBM ada masa 30 hari untuk bertindak ke atas notis itu.

“Kita serahkan kepada peguam untuk memberi pandangan dan nasihat sewajarnya,” katanya.


Loading...

Ketua Pengarah JPPM Surayati Ibrahim dalam kenyataan berkata notis bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan mengkehendaki PPBM menjawab serta menyerahkan maklumat dan dokumen seperti minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti untuk melengkapkan siasatan.

Notis 14(2) itu dikeluarkan disebabkan aduan “ahli parti PPBM” kepada JPPM. Surayati berkata JPPM akan mengambil tindakan susulan bawah Seksyen 14(5) untuk mengeluarkan perintah pembubaran terhadap PPBM jika gagal menyerahkan maklumat dan dokumen diminta.

JPPM pada 12 Januari lepas berkata pihaknya sedang menyiasat lebih 400 aduan berkaitan perhimpunan agung tahunan (AGM) pertama PPBM yang diadakan 30 Disember lalu.

Media melaporkan aduan itu membabitkan 5 perkara iaitu pelaksanaan AGM, pendaftaran keahlian tanpa pengetahuan penama, yuran keahlian, kronisme dalam pelantikan ketua bahagian dan kegagalan mengemukakan penyata kewangan.

“Kita hairan kenapa terdapat sehingga 400 ahli-ahli PPBM buat laporan yang sama dengan perkataan yang sama kepada JPPM,” kata Dr Mahathir mengulas perkara itu 6 Februari lalu.

Status AGM pertama itu antara perkara yang menentukan status pendaftaran gabungan parti-parti pembangkang Pakatan Harapan, yang terdiri daripada PPBM, PKR, DAP dan Amanah.

Gabungan itu mahu bertanding menggunakan 1 logo untuk melawan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14.

- FMT

No comments

Loading...