Header Ads

SPRM Boleh Cari Saya - Husam



KOTA BHARU - Naib Presiden Amanah, Husam Musa bersedia memberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemberian kontrak projek Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang mencurigakan.

Adun Salor itu berkata, sumber yang memberi  maklumat kepadanya  itu juga bersedia memberi keterangan di mahkamah nanti.

"Sumber-sumber’ itu telah menyimpan kemas dokumen yang dikatakan hilang ketika siasatan awal dilakukan.

Loading...


“Saya boleh dihubungi oleh SPRM untuk mendapatkan nama  yang telah bersedia tampil demi  kesejahteraan rakyat Kelantan," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Beliau mengulas kenyataan  Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Kelantan Datuk Hanifa Ahmad dalam sidang media semalam yang menyatakan AKSB akan membuat siasatan dalaman bagi mencari dalang yang membocorkan dokumen projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa II (Pakej I) kepada pihak luar.

Hanifa yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB  berkata, siasatan itu akan bermula hari ini bagi mencari jawapan bagaimana dokumen tender projek bernilai RM27.1 juta itu bocor.

Dalam pada itu, Husam berkata, dakwaan bahawa kontrak yang diberikan kepada syarikat  Cdah Construction Jangka Prestasi JV Sdn Bhd lebih awal daripada pendaftaran diperkukuhkan dengan penjelasan Hanifa semalam.

"Cuma Hanifa cuba memberikan helah bagi kejadian itu berlaku iaitu syarikat itu dalam proses pendaftaran. Syarikat berkenaan telah memohon kebenaran untuk tujuan itu selepas mereka dianugerahkan projek itu.

"Kita akan melihat sama ada alasan ini adalah satu percubaan putar belit dan menutup kesalahan itu atau ianya sah dan benar," katanya.

Beliau dalam masa yang sama berkata, bagi mengukuhkan  maklumat yang diberikan itu,  AKSB telah melakukan siasatan dalaman bagi memburu pegawai-pegawainya  yang disyaki membocorkan maklumat itu.

"Pemburuan ini sepatutnya dikutuk oleh rakyat Kelantan yang cintakan pentadbiran yang bersih dan amanah.

"Tindakan Kerajaan Kelantan ini membuktikan mereka secara terbuka sanggup melindungi perbuatan curang," katanya.

Husam sebelum ini mendedahkan surat tawaran tender projek diberikan kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV pada 22 Januari 2015 sedangkan ketika itu syarikat berkenaan masih belum didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan AKSB dengan menyatakan syarikat terbabit hanya menukar nama.

- Sinar Harian

No comments

Loading...