Header Ads

Serah Dokumen Kepada RoS Atau PPBM Berisiko Dibubar



PUTRAJAYA, 9 Mac — Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah mengeluarkan satu notis kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mengkehendaki parti itu menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen kepada jabatan itu.

Ketua pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata notis itu, yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1996 dan berkuat kuasa pada 28 Feb lepas, diserahkan kepada Setiausaha Agung PPBM Datuk Shahruddin Md Salleh.

Beliau berkata notis itu dikeluarkan berikutan aduan yang dikemukakan oleh anggota-anggota PPBM kepada pihak RoS dan jabatan itu memerlukan maklumat tersebut bagi melengkapkan siasatan mengenainya.


Loading...

“Notis 14 (2) adalah  suatu notis merujuk kepada perkara yang diarahkan oleh RoS untuk mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa notis yang dikeluarkan itu adalah suatu notis statutori berdasarkan kuasa menurut Akta Pertubuhan.

Surayati berkata walaupun  keperluan minimum menurut Seksyen 14 (3) Akta Pertubuhan adalah tujuh hari bagi PPBM memberikan maklum balas, namun RoS memberikan tempoh masa yang lebih panjang iaitu 30 hari kepada PPBM memberikan maklum balas dengan menyertakan maklumat dan dokumen yang diminta.

“Sekiranya  pihak  PPBM gagal menyerahkan maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen yang diminta sebagaimana notis  yang telah  dikeluarkan menurut Seksyen 14 (2), tindakan  susulan daripada RoS adalah mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan iaitu mengeluarkan satu perintah pembubaran ke atas PPBM,” katanya. — Bernama

No comments

Loading...