Header Ads

‘Saya Mampu Jadi PM’


SHAH ALAM - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin beliau mampu menggalas tugas sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (Harapan) memenangi PRU14 walaupun usianya hampir 93 tahun.

Menurutnya, beliau tidak akan bersetuju dicalonkan sebagai perdana menteri sekiranya tidak yakin dengan kemampuannya menerajui pentadbiran  negara.

Loading...

“Saya pun tidak akan duduk lama (sebagai perdana menteri). Saya ingat sampai umur 95 atau 96 saya akan berundur,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri Wacana Sinar Harian ke-53 yang bertajuk “Apakah Tun M terlalu tua untuk jadi PM?” semalam.

Siri wacana pada kali ini menampilkan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, pakar psikologi, Prof Datuk Dr Mat Saat Mohd Baki dan Cikgu Fitness Malaysia, Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

Nazri Kahar dari Astro Awani menjadi moderator.

Sebelum ini, keadaan kesihatan Mahathir menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong Harapan kerana bekas perdana menteri itu mengalami batuk sewaktu menyampaikan ucapan semasa Jelajah Harapan di Gunung Besout, Tanjung Malim, baru-baru ini.

Malah, terdapat juga sebilangan pemimpin Umno/BN yang menyindir kemampuan Mahathir untuk berkhidmat sebagai perdana menteri atas faktor usia.


Mengenai pencalonan beliau sebagai perdana menteri, Mahathir, yang juga Pengerusi Harapan memaklumkan, banyak perkara dapat dilakukan dalam tempoh 100 hari selepas Harapan mengambil alih pentadbiran negara.

“Antaranya, memulihkan semula sistem perundangan di negara ini, (menangani masalah) penyalahgunaan kuasa dan lain-lain,” katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...