Header Ads

Loading...

Rosmah Nasihat Belia Ketepikan Berita Palsu



SERDANG -- Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menyeru belia supaya menjadi warga internet yang bertanggungjawab dan mampu membezakan antara perkara benar dan pembohongan daripada maklumat dan berita yang mereka temui dalam media sosial.

Beliau berkata melahirkan golongan belia yang bermaklumat serta mematuhi etika dalam alam siber merupakan satu-satunya cara berkesan untuk menangkis impak negatif daripada ruang siber terhadap keamanan, keharmonian dan kemajuan ekonomi.

Jelas beliau, hampir semua orang boleh menghasilkan kandungan dan berkongsinya dengan seluruh dunia hanya dengan mengklik satu butang, tanpa mempedulikan akibatnya.


Loading...

"Kesilapan maklumat dan berita palsu sukar untuk diperbetulkan setelah ia menjadi tular di media sosial.

"Kandungan berbahaya seperti itu boleh menggugat ekonomi dan memudaratkan keamanan serta keharmonian," kata beliau ketika merasmikan Persidangan Kepimpinan Pelajar untuk Keamanan bertemakan "Pembinaan Negara Melalui Budaya Hati di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Sambil menyuarakan perasaan kecewa berhubung beberapa berita palsu tentang diri beliau yang tersebar melalui media sosial, Rosmah berkata golongan belia perlu melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan dan kemahiran agar mereka dapat menggunakan media sosial secara positif dan produktif.

Sehubungan itu, kata beliau, kempen keselamatan siber dengan penyertaan aktif golongan belia, kini dilaksanakan melalui kerjasama dengan sektor awam, swasta dan masyarakat sivil bagi menjadikan golongan belia pengguna internet yang bertanggungjawab.

"Mereka juga akan dididik dengan etika siber serta diajar cara untuk mengesan serta mengelak daripada menjadi mangsa gangguan dan buli, di samping tidak terlibat dengan jenayah siber," katanya.

Rosmah berkata, dengan kehadiran 13.5 juta belia di negara ini, peranan mereka tidak boleh diketepikan dalam keadaan dunia yang semakin mengalami ketegangan, keganasan, ketidakadilan, kemerosotan toleransi terhadap perbezaan yang wujud dan kekurangan sifat menghormati hak asasi manusia.

Kata beliau, masa depan Malaysia bergantung pada kejayaan membina sebuah generasi yang cekap serta memiliki daya saing dalam menghadapi cabaran masa depan serta komited terhadap usaha mensejahterakan umat manusia.

-- BERNAMA

No comments

Loading...