Header Ads

Loading...

Rosmah: Demi Rakyat, BN Perlu Menang



Anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) perlu bersedia dan bersama-sama menangkis segala tohmahan dan fitnah membuta tuli yang ditujukan kepada kerajaan berikutan bahang pilihan raya umum ke-14 semakin terasa.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata mutakhir ini segelintir pihak tidak bertanggungjawab sanggup dan tergamak mencetuskan bibit-bibit perpecahan, persengketaan dan menyemarakkan api permusuhan, namun anggota Bakti perlu kuat dan bersedia menghadapi situasi itu bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional.

"Demi kesejahteraan rakyat Malaysia, Barisan Nasional perlu menang.

Jika kita dilihat tidak bersatu, jika kita hilang solidariti dan jika kita hilang kesepaduan, tentunya perkara ini akan memberikan bonus kepada pihak di sana.," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung ke-41 Bakti di Kuala Lumpur hari ini.


Loading...

Dalam konteks itu, Rosmah yang juga Yang Dipertua Bakti menyeru anggota badan itu untuk bersama-sama berperanan dan turun padang bagi menjayakan beberapa program penting seperti Forum Perdana Ehwal Islam, Sesi Bersama Mahasiswa, Sambutan Tahun Baharu Cina, Program Prihatin Wanita Bakti di Teluk Intan dan Hulu Selangor yang telah dirancang.

"Walaupun sibuk dengan tuntutan semasa sebagai isteri pemimpin, namun anggota Bakti masih mempunyai tanggungjawab kepada persatuan dan rakyat yang memerlukan perhatian.

"Saya yakin biarpun menggunung cabaran menghalang, meskipun hebat apapun tentangan yang tiba, kita ahli-ahli Bakti dengan beraninya harus berdepan dan mara menuju kemenangan,” katanya.

"Kalau kita bekerjasama di antara satu sama lain, setia kepada Bakti dan bersatu-padu dalam sebarang situasi, Insya-Allah kita mampu menawan hati nurani rakyat,” katanya.

Rosmah berkata kejayaan dan kemajuan negara sehingga kini merupakan hasil usaha gigih pentadbiran cekap serta sistematik di bawah pimpinan kerajaan BN.

Katanya kerajaan pemerintah sejak dahulu hingga kini bukan hanya pandai bermain dengan kata-kata dan memanipulasi rakyat dengan ayat berbaur fitnah tetapi telah membuktikan keupayaannya dengan rekod pencapaian cemerlang termasuk kedudukan ekonomi kini di tahap membanggakan, keselamatan dan keamanan yang stabil serta infrastruktur yang mantap.

Mesyuarat yang dihadiri lebih 80 anggota Bakti itu dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood.

Turut hadir Isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Dipertua Bakti Datin Seri Hamidah Khamis.

Terdahulu dalam ucapannya, Rosmah berkata sejak 41 tahun lepas, Bakti telah digerakkan secara bersama, berstrategi dan berpandangan jauh tanpa memikirkan kepentingan peribadi, sebaliknya sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang, fahaman agama mahupun perbezaan politik.

Katanya badan amal itu juga sentiasa merencana program-program yang memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan dan secara keseluruhan, Jawatankuasa Kecil Kebajikan Bakti telah membelanjakan RM1.9 juta untuk kerja-kerja kebajikan.

Di bawah Jawatankuasa Kecil Pendidikan, Bakti antara lain memperuntukkan RM1.2 juta untuk Program Dermasiswa Bakti yang telah memanfaatkan 2,054 orang pelajar di seluruh negara selain masing-masing RM50,000 lagi disumbangkan kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan tetapi berprestasi tinggi di Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Sains Islam Malaysia.

Pada 2017, Bakti telah digerakkan untuk membantu golongan memerlukan termasuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan selain menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Kuala Lumpur.

"Secara keseluruhannya, Jawatankuasa Kecil Bencana Alam Bakti telah membelanjakan sebanyak RM270,000,” katanya.

- Bernama

No comments

Loading...