Header Ads

ROS Perlu Beri Penjelasan Status Bersatu



KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) perlu memberi penjelasan berhubung status terkini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas beberapa aduan dibuat berhubung isu perlanggaran perlembagaan parti tersebut.

Bekas Exco Pemuda Bersatu, Mohd Syazwan Ahmad Zainal berkata, sebelum ini, sebanyak lebih daripada 400 aduan telah dibuat oleh bekas ahli pimpinan Majlis Tertinggi  dan Pemuda Bersatu, namun sehingga kini pihak berkenaan masih belum memberikan sebarang respons atau jawapan berhubung perkara itu.

“Sebelum ini kita telah membuat himpunan aman di hadapan pejabat ROS dan turut menyerahkan memorandum kepada pihak berkenaan namun sehingga kini masih tiada sebarang jawapan.


Loading...

“Kita dah bagi cukup masa kepada ROS untuk beri jawapan berhubung status Bersatu, sama ada parti itu masih sah atau pun tidak selepas aduan dibuat namun masih tiada respons,” katanya pada sidang media yang berlangsung di Taman Wangsa Melawati.

Sekiranya ROS masih berdiam diri, Syazwan berkata, pihaknya telah merancang untuk menganjurkan satu lagi himpunan aman di hadapan bangunan Parlimen bagi sebagai tanda protes terhadap jabatan itu.

“Tarikh himpunan akan dimaklumkan selepas ini dan kita anggarkan seramai 3,000 orang akan hadir bersama-sama dalam himpunan aman tersebut.

“Pihak kami telah memohon permit namun jika ia tidak diluluskan, himpunan tersebut akan tetap berjalan kerana kita sudah bagi tempoh yang mencukupi kepada ROS sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Syazwan turut memberi peringatan ROS supaya tidak berselindung di sebalik fungsi jabatan tersebut dan perlu memainkan peranan yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Menurut Syazwan, sekiranya ROS gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik, jabatan ini perlu digantikan dengan sebuah suruhanjaya bagi menjaga dan mengawal selia pertubuhan di negara ini.

“Malah kita turut desak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk campur tangan dalam perkara ini memandangkan ROS dilihat tidak berfungsi dengan sebaiknya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...