Header Ads

Raja Petra Terus Ulangi Fitnah, Robert Kuok Berhak Bertindak



KUALA LUMPUR: Berikutan Malaysia Today mahupun penulisnya Raja Petra Kamarudin tidak memberikan respons terhadap surat dikeluarkan oleh peguam mewakili Robert Kuok, hartawan itu berkata beliau berhak untuk mengambil semua langkah undang-undang yang perlu untuk menghalang mereka dan sesiapa sahaja daripada mengulangi kenyataan memfitnahnya.

Ahli perniagaan dan hartawan terkemuka Malaysia itu berkata Malaysia Today dan penulisnya Raja Petra tidak memberikan respons terhadap surat-surat yang dikeluarkan oleh peguam mewakili Kuok di Malaysia dan United Kingdom.


Loading...

Dalam kenyataan dikeluarkan pejabat Kuok, ia menyatakan walaupun Raja Petra telah mengeluarkan tiga artikel daripada laman web Malaysia Today susulan aduan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 28 Feb, portal berita itu dan Raja Petra terus membuat kenyataan tidak berasas serupa dalam beberapa artikel berkaitan yang telah diterbitkan dalam laman web Malaysia Today.

Menurut kenyataan itu, Kuok, yang dikenali sebagai “Raja Gula”, merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang tampil bersuara bagi menyokongnya dan menentang cubaan untuk mencemarkan reputasinya dan memperlekehkan kesetiaannya kepada negara.

Bulan lepas, Raja Petra menerbitkan tiga artikel bertajuk “Malaysian Insight Funder Fingered” pada 21 Feb, “Robert Kuok Wants Chines Rule in Malaysia” juga pada 21 Feb dan “Robert Kuok Last Chance at Changing the Government” pada 23 Feb, mendakwa Kuok telah membiayai parti-parti politik untuk mengulingkan kerajaan, dan Kuok menafikan dakwaan itu.

Pada 28 Feb, aduan dibuat kepada Biro Aduan SKMM bagi pihak Kuok berhubung artikel fitnah itu yang merupakan berita palsu yang jelas melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Biro itu telah bertindak pantas dengan mengarahkan Malaysia Today dan Raja Petra untuk mengeluarkan artikel itu pada 5 Mac.

“Encik Kuok amat menghargai tindakan pantas dan sesuai yang diambil Biro Aduan dan Bahagian Penguatkuasaan dan Penyiasatan SKMM,” menurut kenyataan itu.

- Bernama

No comments

Loading...