Header Ads

Loading...

PM Umum Projek Infrarakyat Termasuk Loji Tingkatkan Pembekalan Air Bersih



KANGAR: Kedatangan Datuk Seri Najib Tun Razak ke negeri ini membawa khabar gembira apabila kerajaan mengumumkan beberapa projek infrarakyat termasuk pembinaan sebuah loji rawatan air di Tasoh bernilai RM41.4 juta bagi meningkatkan keupayaan pembekalan air bersih kepada penduduk negeri ini.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama, kerajaan menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50.5 juta untuk pemasangan meter baharu, pembaikan tangki air dan penyediaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) bagi mengatasi isu kadar air tidak berhasil (NRW).


Loading...

Beliau menambah, kerajaan juga mengumumkan pembinaan sebuah pintu kawalan air di Sungai Perlis yang bernilai RM50 juta serta pembinaan sebanyak 500 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Besar, 400 unit PPR di Arau dan 500 unit PPR di Kangar.

Tambahnya, selain itu ialah pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu di Seriab serta premis perniagaan Plazaria Padang Besar dan Bazaria di Kangar.

“Pembinaan loji rawatan air di Tasoh, projek menangani NRW, pembinaan PPR di Padang Besar dan Arau telah pun diluluskan KeTTHA dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Begitu juga pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu di Seriab dan Plazaria Padang Besar yang sudah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Manakala pembinaan PPR dan Bazaria di Kangar serta pintu kawalan air baru sahaja diluluskan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini hari ini.

- Utusan Online

No comments

Loading...