PM: Tiada Asas Tuduh Polis ‘Pak Turut’, ‘Makan Gaji Buta’
KUALA LUMPUR: Dakwaan sesetengah pihak yang menuduh Polis
Diraja Malaysia (PDRM) sebagai ‘pak turut’ kepada kerajaan dan ‘makan gaji
buta’ merupakan tuduhan tidak berasas, kata Datuk Seri Najib Razak.
Sambil melahirkan rasa kesal, Perdana Menteri berkata
tuduhan itu dibuat bertujuan untuk melahirkan persepsi serong masyarakat
terhadap pasukan keselamatan tertua negara itu.
“Terbaru pula ada bekas pemimpin yang sudah berumur 93 tahun
telah mendakwa polis kononnya yang bertanggungjawab dan bersalah kerana
mendorong beliau memecat timbalan perdana menteri pada 1998, “ katanya.
Loading...
Najib berkata dakwaan itu bagaimanapun telah dijawab bekas
Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Rahim Mohamed Noor sebagai KPN ketika
itu yang memaklumkan polis tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk
memecat sesiapa pun.
Najib berkata demikian semasa berucap pada Perbarisan
Peringatan Hari Polis ke-211 di Pusat latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di
sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Najib turut menyelar hasrat Timbalan
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang
mahu memecat kesemua pegawai tinggi dalam kerajaan hari ini sekiranya pakatan
pembangkang memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
“Berlainan dengan pihak kerajaan, kita sebaliknya sentiasa
menghargai sumbangan anggota PDRM.
“Dan saya ingin katakan bahawa kepentingan dan kebajikan
PDRM akan terus diperjuangkan kerajaan sedia ada,” katanya.
Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor,
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
- Bernama
Post a Comment