Header Ads

Loading...

‘Persepsi Bersih Berubah Selepas Sertai Perhimpunan’



KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pernah mengeluarkan kenyataan yang meramalkan Perhimpunan yang dianjurkan oleh Bersih 2.0 akan menjadi ganas. 

Menjawab soal balas peguam Mohamed Nasser Yusof yang mewakili Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, Pengerusi Pakatan Harapan mengesahkan, beliau mengeluarkan kenyataan itu pada 5 Mei 2012 yang disiarkan oleh beberapa blog dan portal. 

“Saya ada buat kenyataan tersebut, namun ianya merupakan pendapat saya ketika itu,” katanya. 

Tun Mahathir tampil sebagai saksi yang disepina bagi memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang dikemukakan pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin terhadap Jamal kerana mengaitkan gabungan Bersih 2.0 itu diresapi pengaruh pengganas. 


Loading...

Bagaimanapun mengakui, persepsi itu berubah selepas beliau sendiri menyertai perhimpunan Bersih 4 dan 5. 

“Selepas menyertai Bersih 4 dan 5, saya dapati pemimpin dan peserta tidak mempunyai kecenderungan ke arah keganasan,” katanya. 

Tambahnya selepas menyertai perhimpunan itu, beliau dapati Bersih nampak aman, malah peserta turut mengutip sampah selepas berhimpun. 

Terdahulu, Tun Mahathir yang merupakan Menteri Dalam Negeri sekitar tahun 1957 mengakui kerajaan pernah melancarkan Operasi Lalang bagi mengelakkan rusuhan berlaku dalam negara. 

Beliau mengesahkan seramai 106 individu telah ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan Parti Komunis Malaya (PKM). 

Beliau mengesahkan Kementerian Dan Negeri telah membentangkan laporan Kertas Putih di Parlimen yang melabelkan PKM sebagai pengganas. 

Mohamed Nasser yang memetik laporan Kertas Putih itu menyatakan, antara individu yang ditahan dalam operasi Lalang merupakan aktivis Hishamuddin Rais dan Allahyarham Yunos Lebai Ali yang juga merupakan suami kepada Maria Chin. 

Dalam pada itu, pada prosiding perbicaraan sebelah pagi, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu mahkamah, terdapat bukti menunjukkan Perhimpunan Bersih 2.0 dianjurkan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan. 

Khalid, 60, berkata, perhimpunan itu yang dianjurkan asalnya bertujuan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil bertukar huru-hara dan tidak terkawal. 

“Perhimpunan bertukar menjadi huru-hara dan tidak terkawal sehingga terdapat insiden pukul memukul serta merosakkan harta kerajaan.  Ia jelas untuk menjatuhkan kerajaan melalui jalan lain,” katanya. 

Sementara itu, ketika disoal peguam Maria, N Surendran, Khalid menjelaskan, tindakan peserta perhimpunan itu berhimpun beramai-ramai dengan menghasut orang ramai memang bertujuan menjatuhkan kerajaan. 

Khalid tidak bersetuju dengan cadangan Surendran tiada ancaman dan kekecohan yang berlaku sepanjang perhimpunan itu berlangsung. 

“Ada ancaman tetapi berjaya dipatahkan pihak berkuasa,” jawabnya. 

Khalid turut mengesahkan, Maria pernah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas polis mendapat maklumat perhimpunan Bersih menerima bantuan kewangan daripada pihak luar. 

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan Surendran bahawa Maria telah dibebaskan oleh polis tanpa sebarang syarat di bawah akta berkenaan. 

Pada 7 Oktober 2016, Maria selaku plaintif menyaman Jamal yang merupakan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia dan Gerakan Merah Malaysia (GMM) selaku defendan kerana mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

- Sinar Harian

No comments

Loading...