Header Ads

Pembuli OKU Disahkan Positif Dadah



PEPATAH Inggeris ada mengatakan “You Are What Are You Eat”. Tidak hairan kalau penagih dadah boleh melakukan apa sahaja perkara luar biasa yang menjangkaui pemikiran manusia kerana najis itu sendiri membawa malang kepada siapa yang mengambilnya.

Berhubung kejadian buli dan curi membabitkan seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di padang permainan Taman Sri Kluang, dipercayai dua orang suspek berkenaan disahkan positif dadah.

Menurut laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, didapati dua orang suspek berkenaan mengambil dadah jenis methamphetamine hasil daripada ujian yang dijalankan ke atas mereka.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek berusia 18 tahun itu positif dadah dan polis turut menyiasat mereka mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.



“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta perintah pengawasan polis selama dua tahun,” katanya pada akhbar tempatan hari ini.

Terdahulu, polis menahan dua suspek berkenaan kerana membuli dan mencuri telefon pintar serta beg sandang milik seorang remaja OKU di padang permainan Taman Sri Kluang, tengah malam tadi.

Video berdurasi 32 saat mengenai kejadian buli berkenaan viral di media sosial antara lain menunjukkan seorang daripada suspek membuli remaja OKU berkenaan menggunakan sebatang kayu di taman permainan berkenaan.

Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan individu yang tidak dikenali.


Ibu bapa juga perlu sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan anak-anak mereka agar tidak terlibat dengan jenayah dan buli yang membawa keruntuhan akhlak dan kerosakan moral.

No comments

Loading...