Header Ads

Pembangkang Guna Tun M Untuk Kepentingan Politik - Azalina


Datuk Seri Azalina Othman Said mendakwa bahawa Tun Dr Mahathir telah digunakan oleh pembangkang untuk kepentingan politik mereka apabila bekas perdana menteri itu dibawa menyertai sesi taklimat Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar di Parlimen hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata sesi taklimat perundangan selama sejam itu telah diadakan secara tertutup antara beliau dengan anggota-anggota Parlimen pembangkang di Bangunan Parlimen pada tengah hari tadi dan tidak mengundang bekas perdana menteri itu.

“Saya pun tidak pasti bagaimana dia (Tun M) masuk, tapi biarlah dia masuk, nak buat macam mana. Saya buat (taklimat) untuk MP pembangkang sahaja… So kalau mereka panggil, saya nak buat macam mana? Itu hak merekalah.


Loading...

“Tapi saya terkilan sebab saya dengan opposition, kita ada banyak undang-undang nak bincang.. tapi tadi nak bincang, mereka bincang isu politik… macam mana nak bincang tentang perundangan tersebut?” katanya kepada wartawan di Bangunan Parlimen.

Katanya, Dr Mahathir telah diguna oleh pembangkang untuk memenuhi agenda politik mereka.
“Saya tak salahkan Tun M. Bagi saya dia telah diguna pakai oleh pembangkang sebab pembangkang ni nak gunakan Tun M sebagai taktik hendak menakut-nakutkan…. Tapi saya kesian kat Tun M,” katanya.

Azalina berkata tindakan beberapa anggota parlimen pembangkang yang meninggalkan taklimat sebelum ia berakhir menyukarkan lagi proses penerangan mengenai RUU itu dan menunjukkan keadaan mereka yang terdesak.

“Pagoh keluar, Lembah Pantai keluar, dia (Tun M) pun keluar sebelum habis (sesi taklimat). Tapi nak buat macam mana… mereka datang cakap, lepas itu keluar,” katanya.

Mengulas lanjut, Azalina berkata kerajaan kini adalah lebih terbuka kerana sedia mengadakan dialog dan taklimat dengan pembangkang ketika hendak menggubal sesuatu undang-undang berbanding semasa pemerintahan Dr Mahathir yang tidak pernah diadakan sesi sedemikian bersama blok tersebut.

“Saya sekurang-kurangnya berdialog untuk kepentingan awam supaya sebagai wakil rakyat, mereka boleh bersuara dan menyatakan pandangan tentang perundangan tersebut.
“Saya hendak dengar pandangan (dari sudut) undang-undang, tetapi mereka hanya memberikan pandangan dari sudut politik,” tambahnya.

-Bernama

No comments

Loading...