Header Ads

Loading...

Pecah Rumah Untuk Biayai Sakit Jantung Anak


Saya terpaksa lakukannya tuan hakim, anak saya baru lahir sakit jantung dan perlukan wang RM80,000 untuk rawatan,” demikian rayuan seorang bapa yang juga penghidap HIV ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Norhafizi Halipah, 43, membuat pengakuan itu ketika merayu hukuman terhadapnya diringankan atas tuduhan cuba memecah masuk sebuah rumah, Ahad lalu.

Tertuduh yang didakwa di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.


Loading...

Mengikut pertuduhan, Norhafizi didakwa cuba memecah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam, kira-kira jam 2 petang, pada 11 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu hukuman diringankan dengan alasan menghidap HIV.

“Saya mohon hukuman ringan kerana isteri tidak berkerja dan sakit seperti saya, selain menanggung dua anak termasuk yang baru lahir.

“Saya terpaksa lakukan ini untuk dapatkan wang untuk anak kecil yang sakit jantung,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh supaya menjadi pengajaran, selain mengambil kira tertuduh mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan menyalahi akta kesalahan kecil.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh dipenjara lapan bulan dari tarikh ditangkap 11 Mac lalu.

Mengikut fakta kes, pada jam 2.15 petang, Ahad lalu, pengadu yang juga anggota polis di Balai Polis Batu Berendam menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa melihat seorang lelaki berkepala botak dan berbaju merah memecah masuk rumah jirannya di Taman Merdeka di sini.

Bertindak atas maklumat, Koperal Jazlan Mohamad Nor dari balai polis itu ke lokasi kejadian dan melihat tertuduh di atas motosikal Honda Wave berwarna hitam di hadapan sebuah rumah dan cuba melarikan diri, sebelum berjaya ditahan.

Pemeriksaan ke atas tertuduh menemui beberapa peralatan pecah rumah di dalam beg yang dibawanya.

No comments

Loading...