Header Ads

Mukhriz Sepatutnya Buat Pengakuan Bersumpah



KUALA LUMPUR – Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sepatutnya membuat pengakuan bersumpah jika dakwaan berhubung perjanjian sulit antara bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, tidak benar.

Tunku Abdul Aziz, 84, yang menyambung keterangannya hari ini, berkata beliau pernah menggesa bekas Menteri Besar Kedah itu dan Lim membuat pengakuan bersumpah jika dakwaan itu tidak benar dan gesaan itu dikeluarkan dalam kenyataan media keduanya bertarikh 30 Januari 2017.

“Kalau itu (perjanjian sulit) tidak betul, kenapa nak peduli? Mukhriz kena buat pengakuan bersumpah dan cakap semua itu tidak betul kepada orang ramai,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh peguam yang mewakilinya, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Loading...


Tunku Abdul Aziz berkata demikian dalam perbicaraan kes saman difailkan Mukhriz terhadapnya atas dakwaan mengeluarkan kenyataan bahawa Mukhriz, dijanjikan jawatan perdana menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14.

Sementara itu, Tunku Abdul Aziz, dalam pernyataan saksinya berkata kegagalan Mukhriz dan Lim membuat pengakuan bersumpah seperti yang dicadangkan telah mengukuhkan lagi bahawa sumber yang diperoleh berhubung perjanjian itu adalah benar.

Tunku Abdul Aziz, yang juga defendan dalam kes saman itu selanjutnya berkata Mukhriz tidak memberi penjelasan dan maklum balas kepada perkara yang dibangkitkannya berkaitan perjanjian sulit antara Dr Mahathir dan Lim.

“Mukhriz telah memfitnah saya sebagai cuba untuk mengelirukan rakyat tentang tujuan sebenar parti pembangkang, namun saya tidaklah mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadapnya kerana saya tahu dan percaya bahawa rakyat yang peka akan perjalanan politik tahu bahawa tuduhan seperti ini adalah sebahagian daripada permainan politik,” katanya.

Aktivis politik itu turut menjelaskan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan kedua itu bagi mencadangkan jalan keluar kepada Mukhriz dan Lim untuk membuat surat pengakuan bahawa mereka tiada niat untuk jawatan perdana menteri.

“Dengan ini, mungkin dapat meredakan kerisauan rakyat terutamanya pengundi Melayu mengenai Lim yang bakal dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan memenangi pilihan raya umum ke-14,” katanya.

Selepas sesi pemeriksaan semula itu, peguam Jahaberdeen memaklumkan bahawa pihak defendan telah menutup kesnya.

Hakim Datuk Nordin Hassan menetapkan 13 April untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak. Mukhriz diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Pada 7 Februari 2017, Mukhriz yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, Kedah memfailkan saman dengan mendakwa pada 30 Disember 2016, defendan telah mengeluarkan satu kenyataan bertajuk ‘Memang Wujud Pakatan Sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang’ yang dilaporkan dalam blog AIDCNews.

Beliau mendakwa, pada 1 Januari 2017, pihaknya ada membuat penafian secara terbuka dan mengemukakan notis tuntutan meminta defendan membuktikan kenyataan fitnah itu dan sekiranya gagal, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan.

Bagaimanapun, pada 3 Januari 2017, defendan ada menerbitkan atau menyebabkan terbit satu lagi kenyataan media bertajuk ‘Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah’. – BERNAMA

No comments

Loading...