Header Ads

Loading...

Mukhriz Bidas Ketua Pengarah RoS



ALOR SETAR - Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir membidas sikap pilih kasih Ketua Pengarah Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Surayati Ibrahim yang didakwa sengaja melengahkan pendaftaran parti itu.

Katanya, RoS berterusan memberi tekanan berhubung pembatalan pendaftaran walaupun Bersatu mematuhi perlembagaan parti dan akta pertubuhan, sebaliknya tindakan tidak dikenakan terhadap Umno yang jelas melanggar perlembagaan parti itu.

“Kami hanya terima surat daripada RoS awal Mac. Sebelum ini, sudah berkali-kali kami tulis surat secara rasmi, inilah kali pertama RoS jawab, dalam tempoh lebih setahun. Itu pun, mereka minta lagi dokumen tertentu yang sebelum ini telah pun diserahkan,” katanya.


Loading...

Berdasarkan kenyataan Surayati, Sabtu lalu, notis pembubaran akan dikeluarkan jika Bersatu gagal menyerahkan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan Pusat termasuk penyata kewangan parti dalam tempoh 30 hari, berkuat kuasa 28 Februari lalu.

Mukhriz sebaliknya menempelak sikap RoS yang tidak telus, kerana surat berkenaan hanya diserahkan kepada pejabat Bersatu pada 7 Mac lalu.

“Surat itu bertarikh 28 Februari, tetapi kami terima pada 7 Mac. Kenapa serah lewat seminggu dan dinyatakan pula jika dalam tempoh itu tidak berjawab, Bersatu berisiko dibubar. Ini satu ugutan yang tak sepatutnya dikeluarkan oleh Ketua Pengarah RoS,” katanya.

Menurutnya, parti itu tidak melakukan sebarang kesalahan seperti melanggar akta pertubuhan, malah mendaftar secara rasmi.

“Ia turut diperakui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), maksudnya kami berhak terlibat dalam PRU14 dengan menggunakan nama parti dan lambang. Mengikut perundangan RoS tiada hak lakukan apa-apa selagi kami patuh perlembagaan parti dan akta pertubuhan,” katanya.

Mukhriz turut kesal kerana Umno tidak dikenakan sebarang tindakan apabila terbukti melanggar perlembagaan parti itu.

“Presiden kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pegang jawatan Naib Presiden Umno, beliau juga Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Umno. Ketika itu, beiau terlibat dalam pindaan perlembagaan Umno, di mana pemilihan Umno mesti berlaku sekali dalam 2/3 tahun (fasal 10.16), Majlis Tertinggi Umno boleh tangguhkan pemilihan dengan alasan munasabah tidak lebih dari 18 bulan,” katanya.

Bagaimana pun, sehingga kini Umno gagal mengadakan pemilihan parti seperti dikehendaki perlembagaan parti itu.

“Tiada fasal dalam perlembagaan Umno yang benarkan menunda pemilihan selepas 18 bulan ditunda. Jika hanya tangguh 18 bulan, tarikh terakhir Umno mesti buat pemilihan adalah bulan April 2018,” katanya.



Mukhriz berkata, sehingga hari ini, pemilihan peringkat cawangan mahupun bahagian tidak dilakukan.

“Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dakwa ada hantar surat penangguhan hingga 2019, kononnya dipersetujui RoS. Kami juga bekas Umno, pernah terlibat dalam perlembagaan Umno, kami nak tanya klausa mana yang membenarkan tangguh sehingga 30 bulan,” katanya.

Menurutnya, status Umno itu sudah dibangkitkan Bersatu secara rasmi kepada RoS, dan berharap diberikan penjelasan sewajarnya.

“Rupanya ahli Umno pun keliru, ketika Bersatu serahkan surat berkenaan, wakil Umno juga hadir untuk serah surat dari ketua umno cawangan, mereka pun tertanya-tanya kesahihan status parti itu,” katanya.

No comments

Loading...