Header Ads

Loading...

'Minta Maaf Pada Azeez Rahim? Tolonglah'



KUALA LUMPUR -  Ketua Menteri, Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkeras tidak akan memohon maaf kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung isu terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Guan Eng, bertegas tidak mahu memohon maaf kepada Abdul Azeez yang memberi kata dua kepadanya sama ada meminta maaf secara terbuka atau dikenakan tindakan saman fitnah.

“Minta maaf pada siapa? Azeez Rahim? Tolonglah!" kata Guan Eng sambil menggeleng kepala.


Loading...

Terdahulu Abdul Azeez yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Umno dalam satu sidang media memaklumkan telah mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan saman kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Arahan ini dikeluarkan susulan tindakan Guan Eng yang memfitnahnya berhubung isu terowong dasar laut di Pulau Pinang menerusi laporan berita yang disiarkan oleh media.

Menurut Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu, surat tuntutan tersebut sudah dihantar ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga kediaman Ketua Menteri, petang semalam.

“Saya bagi tempoh empat hari untuk Guan Eng mohon maaf secara terbuka di depan media atau saya akan teruskan saman fitnah ini,” tegasnya.

Tambah beliau, dalam tuntutan saman yang dihantar oleh peguam kepada Guan Eng adalah supaya Ketua Menteri Pulau Pinang itu menarik balik semua kata-kata fitnah terhadap dirinya, Umno dan Tabung Haji termasuk rakyat Baling.

“Saya juga telah meminta beliau akujanji untuk tidak mengulangi kata-kata fitnah sedemikian rupa terhadap saya.

“Seterusnya saya meminta memberi saya senarai dari mana beliau mendapat sumber maklumat jika beliau ada,” katanya.

Menurutnya lagi, tindakan Guan Eng itu berniat jahat dan cuba mengelirukan rakyat dengan mengaitkan Umno dan Tabung Haji dalam isu pembinaan terowong dasar laut itu.

Sebelum ini syarikat kontraktor, Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd telah memohon maaf dan menarik balik tuduhan rasuah ke atas Abdul Azeez berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Syarikat tersebut juga berjanji akan berusaha untuk membersihkan semula nama ahli Parlimen Baling itu.

- Sinar Harian

No comments

Loading...