Header Ads

Maszlee: Pengorbanan Saya Tiada Apa-Apa



Pensyarah sains politik Maszlee Malik tahu pada saat beliau menyertai parti pembangkang, beliau sedang mempertaruhkan banyak keistimewaan lama dan juga mata pencariannya untuk dikorbankan.

Buat beliau, pengorbanannya itu tiada apa-apa berbanding ramai orang yang kehilangan banyak perkara dalam perjuangan politik mereka.

"Jika saya berkorban, ia tiada apa-apa berbanding apa yang telah mereka korbankan. Saya fikir sekarang masanya untuk saya membuat pengorbanan kecil yang dapat saya buat.

"Jika kita mengharapkan kegemilangan negara kita, kita perlu mengorbankan diri kita sedikit (untuk matlamat yang lebih besar)," kata Maszlee kepada Malaysiakini dalam suatu wawancara eksklusif.


Loading...

"Ketika saya bercakap dengan ahli keluarga saya, terutamanya isteri saya, mereka berkata kita hanya berfikir untuk diri kita sendiri.

"Kenapa tidak kita merenung sejenak untuk berfikir tentang negara ini, nasib rakyat yang tinggal di desa, rakyat yang menderita meskipun tinggal di kawasan kota, di bandar besar tetapi hidup dalam kemiskinan," kata beliau.

Maszlee mengajar sains politik sebagai profesor pembantu di jabatan sains politik di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Kuala Lumpur.

Beliau ialah seorang ahli akademik terkemuka yang juga penyelidik untuk Penang Institute, Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas) di Malaysia dan Yusuf Ishak Institute, Institute of Southeast Asian Studies (Iseas) di Singapura.

Sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Maszlee sering menjadi moderator dan panelis forum bersama Sinar Harian.

"Ramai orang cuba meyakinkan saya untuk menyertai politik semenjak kali pertama saya melibatkan diri dengan kesemua wacana, forum dan perbahasan sejak tahun 2012 lagi.

"Saya boleh katakan mereka telah memberikan penjelasan yang wajar. Mereka berupaya menunjukkan logiknya tapi pada waktu itu saya masih menunggu hidayah Ilahi.

"Akhirnya saya mendapat hidayah. Terutamanya, anda lihat keadaan Malaysia sekarang yang amat teruk. Ia sedang berada di ambang kemusnahan, terjerumus ke lembah kehinaan jika tiada yang berikhtiar menyelamatkannya.

Maszlee berkongsi pengalaman ketika berada di seberang laut, ramai orang bertanya kepada beliau berkenaan laporan berita terhadap skandal rasuah negara menyebabkan beliau malu menjadi rakyat Malaysia.

Melibatkan diri dalam politik dengan caranya sendiri, Maszlee menganggap penglibatannya dalam masyarakat sivil membantu laluannya terjun ke dunia politk.

Bezanya sekarang politik kepartian dan bukan lagi sekadar hanya politik semata.

"Saya fikir, malah kepada orang yang bukan anggota parti politik, sebenarnya mereka juga hidup dalam dunia politik. Persoalannya, kenapa politik kepartian?

"Jika itu persoalannya, saya katakan rakyat Malaysia sedang berada di persimpangan. Kita akan berhadapan 'bapa segala pilihan raya' yang akan menentukan masa hadapan negara sama ada kita akan kekal berada di bawah kerajaan kleptokratik yang memiliki imej buruk seantero dunia, atau kita mahu menjadi Malaysia baru yang menjanjikan suatu penghidupan dan imej yang lebih baik untuk dunia.

"Apabila kita membaca akhbar, kita rasa malu menjadi rakyat Malaysia, bukan kerana manusianya tetapi kerana ukuran rasuah yang berlaku sangat besar dan diketahui ramai."

Hidayah Ilahi - kerelaan keluarganya

Tidak mudah buat Maszlee meletakkan risiko atas kerjayanya, memandangkan beliau satu-satunya pencari nafkah keluarga.

"Ia membuatkan saya berulang kali membuat pertimbangan lantas kembali semula ke meja kerja. Saya membuat perkiraan dan akhirnya sebagai seorang Islam saya perlu berdoa kepada Tuhan dan meminta hidayahnya. Kesudahannya saya mendapat beberapa petunjuk.

"Apakah petunjuk itu? Petunjuk paling asas, saya mendapat sokongan padu ahli keluarga kerana saya menjangkakan, selain anak perempuan saya, kebanyakan ahli keluarga saya, terutamanya isteri saya, mereka amat ragu-ragu dengan politk. Apatah lagi, membenarkan pencari nafkah keluarga menyertai politik.

"Saya berdoa memohon hidayah Tuhan dan dia telah memberikan saya petunjuk! Sokongan padu daripada keluarga dan hal itu cukup mengejutkan saya. Kata saya, inilah masanya.

"Saya fikir ia bukan datang daripada keluarga saya sahaja tapi juga daripada rakyat. Mereka mahukan perubahan. Mereka tidak mahu kekal dalam keadaan menderita yang terpaksa mereka jalani sekerang," kata Maszlee kepada Malaysiakini.

Semasa wawancara, ketika ditanya berkenaan kemungkinan menjadi calon pilihan raya umum akan datang, Maszlee berkata beliau akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.

"Bercakap tentang bertanding dalam pilihan raya atau kerusimana saya akan bertanding, saya serahkan kepada pimpinan parti.

"Apapun, kita mengutamakan perjuangan untuk memastikan masa hadapan yang lebih baik buat negara.

"Jika saya menjadi calon itu bonus. Jika saya menang dalam pilihan raya juga satu lagi bonus," kata beliau.

- Malaysiakini

No comments

Loading...