Header Ads

Loading...

Masuk Politik Yang Janjikan Risiko


DR Maszlee Malik adalah pensyarah di Jabatan Sains Politik Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau lebih dikenali sebagai moderator debat dan wacana politik serta penganalisis politik Timur Tengah yang berwibawa.

Aktif dalam kegiatan-kegiatan kebajikan dan mesra rakyat, Dr Maszlee memegang jawatan-jawatan penting dalam NGO dan badan-badan berkaitan pendidikan.

Dari segi akademik, beliau menceburi bidang pendidikan Islam hingga ke peringkat sarjana, dan mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang 'Good

Governance'. Walaupun hidup selesa, untuk memperjuangkan nasib rakyat, anak jati Johor Bahru


Loading...

yang berusia 44 tahun ini kini memilih menceburi Pakatan Harapan, melalui Bersatu, yang, menurutnya, tidak menjanjikan apa-apa, kecuali risiko dan ujian besar. Ikutilah wawancara beliau bersama Penulis Khas Sinar Harian, Farush Khan.

Boleh saudara kongsi matlamat utama tuan menceburi arena politik?

Saya menceburinya kerana saya seorang Muslim dan warga bertanggungjawab yang ingin melaksanakan prinsip menegakkan keadilan, menjalankan amanah, melaksanakan amar makruf nahi mungkar, dan juga sebagai seorang yang telah diberikan sedikit ilmu untuk menterjemahkan idealisme ke alam realiti.

Kenapa saudara pilih Bersatu?
Pertamanya, kerana Bersatu merupakan parti yang boleh memungkinkan berlakunya tsunami Melayu di dalam PRU14. Hal ini penting demi memastikan negara tercinta kita membuat proses rejuvenasi dan memperbetulkan keadaan yang berlaku.

Keduanya, kerana saya ingin bersama mencorakkan hala tuju dan masa depan Bersatu. Hakikatnya Bersatu merupakan parti orang muda dan parti masa depan, dan masih baru.

Sama ada Umno, Pas, DAP, PKR, Gerakan atau lain-lain parti, mereka kekal sehingga hari ini disebabkan tiga elemen utama sebagai tonggak mereka dengan didukung oleh massa. Saya ingin mengisi ruang intelektualisme di dalam parti. Saya yakin Bersatu akan terus relevan dan lestari di masa hadapan sebagai parti utama di Malaysia, walaupun setelah berganti pimpinan utamanya, dengan syarat ia punyai dasar dan prinsip yang utuh untuk kekal wujud dan mapan. Di situlah saya melihat kemampuan terhad diri saya yang serba kekurangan ini untuk memenuhi ruang kosong tersebut.

Adakah saudara melihat Pakatan Harapan (Harapan) mampu menewaskan parti kerajaan hingga saudara sanggup sertai parti itu?

Ada dua isu di sini, pertama apakah Harapan mampu menewaskan kerajaan BN, dan kedua, apakah saya menyertai Harapan kerana meyakini ia akan menang PRU14. Penyertaan saya bukan kerana inginkan sesuatu habuan jika Harapan menang. Malah Bersatu juga tidak menjanjikan apa-apa kepada saya. Apa yang mereka janjikan adalah risiko dan ujian besar yang menanti apabila saya memilih untuk bersama dengan Bersatu dan Harapan bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat kerajaan baru yang lebih adil, demokratik dan bebas rasuah. Saya maklum besarnya saiz risiko yang sedang menanti dan sedang saya hadapi kerana memilih jalan ini, namun saya ingin menjadi sebahagian daripada pencipta sejarah ini. Saya ingin menyumbang sekadar termampu di dalam pertarungan yang begitu signifikan di dalam sejarah politik Malaysia ini. Ia tidak pernah berlaku semenjak kemerdekaan, dan entah bila akan berlaku lagi di masa hadapan... saya tidak mahu anak cucu saya menyesal kerana bapa atau datuk mereka tidak menjadi sebahagian dari perubahan ini, dan sekadar menjadi penyaksi sahaja. Begitu juga, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya juga ingin menjadi elemen intelektualisme di dalam Bersatu untuk memastikan parti tersebut terus lestari di masa hadapan.

Ramai maklum dalam PRU13, Pakatan Rakyat telah berjaya memenangi 52 peratus undi popular mengalahkan BN. Cuma dalam sistem ‘first past the post’ BN menang lebih banyak kerusi parlimen sekaligus menjadi kerajaan memerintah.

Apa yang berlaku pada PRU13 adalah hasil daripada tsunami golongan bandar, tsunami golongan muda, dan tsunami daripada bangsa Tionghua yang rata-rata inginkan perubahan agar berlaku rejuvenasi di dalam politik negara.

Ramai yang mahu BN direhatkan untuk mereka muhasabah diri dan memperbaiki kesilapan. Pada waktu itu majoriti kaum Melayu tidak menyertai gelombang tsunami perubahan, kerana termakan momokan BN bahawa jika PR menang, DAP akan berkuasa.

Malang sekali pada waktu itu Pas, sebagai parti yang majoriti Melayu Islam, tidak dilihat dan tidak diyakini oleh majoriti kaum Melayu berupaya menjamin survival Melayu Islam jika PR menjadi kerajaan baru.

PRU14 kali ini agak berbeza. Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun, dan juga kemunculan Bersatu sebagai parti yang mewakili suara majoriti Melayu Islam yang bencikan kleptokrasi dan rasuah, telah memberikan sinar baru kepada orang Melayu. Momokan bahawa DAP akan berkuasa jika Harapan menang PRU tidak lagi menjadi mantra keramat. Rakyat melihat isu kos hidup yang semakin tinggi dan menghimpit, dan juga saiz salah guna dana rakyat melalui 1MDB dan (ahli perniagaan) Jho Low adalah lebih besar. Dalam situasi seperti ini, tsunami Melayu dijangkakan bakal jadi penentu kepada keputusan PRU14. Jika tsunami Melayu, terutama dalam kalangan wanita Melayu Islam, berlaku, rakyat Malaysia bakal mendapat kerajaan baru.

Bagaimanapun, Harapan perlu bekerja empat kali ganda lebih kuat demi meyakinkan pengundi wanita Melayu dan juga majoriti kaum Melayu bahawa Harapan tidak akan abaikan kebajikan dan agama mereka.

Ramai profesional, termasuk intelek muda seperti saudara, mulai yakin dengan perjuangan pakatan ini, kenapa?

Rakyat sudah tidak tahan dengan kos sara hidup yang semakin menghimpit. Bagi golongan profesional dan intelek, mereka lebih terpanggil memandangkan mereka boleh memahami bagaimana GST telah menyebabkan harga barang-barang naik, dan ini mengakibatkan kesukaran bagi anak-anak muda membeli rumah. Tidak kurang juga semakin ramai boleh membaca sendiri tentang perkembangan 1MDB dan bagaimana ia jadi isu besar di luar negara.

Apa pandangan saudara mengenai keputusan PRU14, dengan mengambil kira pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Jun depan?

Sekarang BN terpaksa berhadapan dengan (Dr Mahathir) mantan perdana menteri selama 22 tahun yang kaya dengan pengalaman dan kaya dengan strategi. Jika Anwar dibebaskan, sebelum PRU14, dan berkongsi pentas dengan Dr Mahathir, saya rasa rakyat sudah pun dapat mengagak keputusan PRU14 sebelum Parlimen dibubarkan lagi. (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) lebih maklum hal ini.

Saudara akan bertanding pada PRU14?

Tujuan saya menyertai Bersatu bukan untuk bertanding. Saya hanya menjadi ahli parti, dan cuba untuk menyumbang kepada parti dalam kapasiti saya sebagai seorang pengkaji yang berada dalam dunia ilmiah. Bagaimanapun, saya serahkan kepada parti.

Apakah isu tumpuan yang saudara ingin perjuangkan sebagai ahli politik?

Seperti sebelum menjadi ahli parti, begitu jugalah setelah menjadi ahli parti politik, saya akan terus perjuangkan isu-isu berikut:

Membela nasib orang kurang upaya, dan memastikan dasar-dasar pendidikan, kebajikan, dan prasarana negara menjadi lebih mesra OKU dan setaraf dengan negara-negara maju. Saya akan perjuangkan ini tidak kira siapapun yang perintah.

Isu pendidikan. Saya komited untuk memperjuangkan sistem pendidikan yang saksama untuk semua, terutamanya untuk golongan miskin, luar bandar, dan OKU. Saya juga akan memperjuangkan sistem pendidikan yang tidak membebankan guru, malah menggembirakan mereka. Saya akan pastikan negara kita mempunyai indeks kegembiraan guru dan murid. Saya yakin guru-guru yang gembira, dan murid-murid yang gembira akan menghasilkan generasi yang produktif, inovatif dan berdaya saing.

Isu wanita, dan kanak-kanak. Saya akan menyokong semua usaha untuk kepentingan wanita, terutama ibu-ibu tunggal. Saya akan bersama dalam semua usaha untuk memastikan diskriminasi dan penderaan terhadap wanita akan menemui noktah di Malaysia.

Isu-isu berkaitan alam sekitar dan juga penjagaan alam. Saya akan memperjuangkan dan mendukung segala usaha untuk memastikan semua dasar dan polisi kerajaan, terutamanya kerajaan Harapan, sentiasa mesra alam sekitar dan mengutamakan kemapanan demi menjamin kehidupan yang sejahtera bagi rakyat dari segenap lapisan. Isu melibatkan anak-anak muda. Saya akan perjuangkan polisi-polisi untuk membela anak-anak muda, sama ada dalam isu kos sara hidup, perumahan, pembinaan modal insan, penghapusan AUKU, kebebasan akademik dan peluang kerja.

Sumber: Sinar Harian

No comments

Loading...