Header Ads

Loading...

Mangsa Keldai Dadah Di Peru Pulang Ke Tanah Air


SEPANG – Selepas menempuh perjalanan lebih 28 jam, dua rakyat Malaysia mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang terkandas di Peru masing-masing selama 10 dan 12 tahun, selamat tiba di tanah air hari ini.

Ketibaan Noor Suzanna Azmi, 36, dan Noor Azimah Sapie, 38, hasil inisiatif Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini disambut pengerusi biro itu Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah serta anggota keluarga kedua-dua mangsa.

Shamsul Anuar berkata misi selama enam hari BiKUM diketuai Setiausaha Operasinya, Mohd Awie Shoubli Jamal itu turut berjaya membawa pulang anak Noor Azimah, Qistina Maisara Alarcon Sapie, suami Noor Suzanna, Garlin Lever Quispe Sanchez yang juga rakyat Peru serta dua anak mereka, Muhammad Duler Akasyah Salas Azmi dan Garlin Junior Quispe Azmi.

Loading...


Beliau berkata usaha membawa pulang mangsa keldai dadah itu dimulakan hampir dua tahun lepas selepas mereka menghadiri majlis Datuk Seri Najib Tun Razak bersama rakyat Malaysia ketika Perdana Menteri menghadiri Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pacific (APEC) di Lima pada November 2016.

“Proses membawa pulang mereka mengambil masa yang lama kerana sebagai ‘pendatang asing’ banyak perkara melibatkan dokumen perlu diselesaikan, apatah lagi kedua-dua mereka telah berkahwin dengan orang tempatan dan mempunyai anak.

“Oleh kerana mereka pulang bersama keluarga, kita juga perlu selesaikan dokumentasi ahli keluarga masing-masing bagi membolehkan mereka masuk dan tinggal di negara ini,” katanya pada sidang media sejurus ketibaan mereka.

Shamsul Anuar berkata BiKUM mempunyai perancangan khas untuk membawa Nor Suzanna dan Noor Azimah menjelajah ke beberapa lokasi bagi berkongsi pengalaman pahit serta pengajaran dalam usaha memupuk kesedaran di kalangan masyarakat mengenai modus operandi sindiket serta bahayanya jika terjebak menjadi keldai dadah.



“Selepas kerap berdepan dengan kes sebegini, kami merasakan langkah pencegahan melalui kempen kesedaran perlu diperhebat daripada hanya bertindak selepas insiden tersebut terjadi,” katanya dan menambah lebih RM250,000 diperuntukkan bagi membawa pulang kedua-dua mangsa.

Nor Suzanna, yang gembira dapat pulang ke pangkuan keluarga, menyatakan rasa terkilannya kerana tidak mendengar nasihat ibunya agar tidak terpengaruh dengan tawaran melancong ke luar negara sebelum menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Dia dilihat menangis dan meraung sekuat hati sambil memeluk erat ibunya Nor Liana Maarof apabila kembali bertentang mata dengan wanita cekal berusia 58 tahun itu selepas 12 tahun terpisah.

Keadaan bertambah sayu apabila ibunya menyuapkan pulut kuning bersama sambal ikan bilis yang menjadi dambaannya sejak berpisah dengan keluarga tersayang.

Nor Suzanna berkata daripada mengimpikan sesuatu yang indah, kehidupannya bertukar suram, perit dan menyiksakan kerana terpaksa hidup dalam ketakutan di negara orang sepanjang terkandas di Peru.

“Sebab itu saya nasihatkan rakyat Malaysia supaya berwaspada daripada menjadi mangsa sindiket dadah kerana tidak semua tawaran yang mereka sediakan percuma 100 peratus, sebaliknya setiap apa yang diberi, ada balasan yang menanti.

“Perit memanglah perit…sebab itu saya amat berterima kasih kepada BiKUM, Wisma Putra dan kerajaan Malaysia kerana sudi membawa kami pulang semalam ke pangkuan keluarga,” katanya.

Bagi Noor Azimah pula, sepanjang 10 tahun di Peru, beliau tidak boleh keluar rumah sesuka hati kerana bimbang ditangkap pihak berkuasa negara itu.

Dia yang terpedaya dengan tawaran melancong ke luar negara menasihatkan masyarakat Malaysia khususnya wanita supaya lebih berhati-hati apabila ditawarkan dengan pakej sebegitu apatah lagi turut dijanjikan dengan sejumlah wang.

“Saya mahu kongsi bahawa tawaran melancong dan mendapat duit adalah karut kerana kepercayaan itulah yang menyebabkan saya terkandas di Peru dan melalui kehidupan menakutkan setiap hari,” katanya. – BERNAMA

No comments

Loading...