Header Ads

Loading...

Mana-Mana Pihak Berkelayakan Boleh Mohon Lesen Perkhidmatan Internet


KUALA LUMPUR -- Mana-mana pihak yang berkelayakan boleh memohon untuk mendapatkan lesen perkhidmatan internet talian tetap ataupun mudah alih, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata oleh yang demikian tidak timbul isu monopoli dalam penawaran perkhidmatan internet talian tetap ataupun mudah alih oleh mana-mana pihak termasuk Telekom Malaysia.

"Kesemua pemegang lesen tertakluk kepada peruntukan dan syarat pelesenan yang terkandung di dalam Peraturan-Peraturan Perlesenan 2000 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).


Loading...

"AKM 1998 menggalakkan persaingan yang sihat dan kompetitif dalam pembangunan industri komunikasi negara demi kepentingan para pengguna," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 170 lesen Pemberi Kemudahan Rangkaian dan 178 lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian dikeluarkan bagi membolehkan pemegang-pemegang lesen berkenaan membina infrastruktur komunikasi yang menawarkan perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim dalam penggulungan bagi jabatan berkenaan menegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima sebarang bentuk bantuan atau dana daripada pihak asing.

Beliau berkata ini bagi mengelakkan sebarang campur tangan asing dalam proses pilihan raya di negara ini.

"Sekiranya wujud hubungan dengan negara luar yang melibatkan pilihan raya seperti jemputan sebagai pemerhati, ia hanya melibatkan Badan-Badan Pengurusan Pilihan Raya dari negara-negara yang terlibat,” katanya.

Persidangan Dewan Negara malam ini meluluskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V semasa merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13 pada 5 Mac lepas.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA

No comments

Loading...