Header Ads

Kos Kehidupan Meningkat, Rakyat Taiping Sokong Pakatan Mansuhkan GST



TERTEKAN dengan peningkatan kos kehidupan, penduduk Taiping mengharapkan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kebanyakan yang ditemui The Malaysian Insight di ceramah Jelajah PH yang dihadiri lebih kurang 4,000 orang itu mengatakan, perubahan terbesar sepanjang lima tahun lalu adalah peningkatan dalam perbelanjaan seharian.

Seorang pesara kerajaan Razali Din, 65, berkata kehidupannya menjadi “mahal” selepas GST yang diperkenalkan Perdana Menteri Najib Razak dikuatkuasakan pada April 2015.

“Setiap barang yang kita beli kena GST. Setiap perkhidmatan yang kita beli pun kena GST.

Loading...


“Dulu zaman Dr Mahathir Mohamad, walaupun saya bukanlah golongan berada, saya dapat hidup selesa disebabkan harga barang tidak begitu mahal. Sekarang semua mahal,” kata Razali kepada The Malaysian Insight.

Razali adalah warga Taiping adalah pesara Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berharap PH dapat mengambil alih Putrajaya dan membuat perubahan seperti memansuhkan GST.

“Dr Mahathir 22 tahun jadi perdana menteri dan mengetahui apa yang berlaku. Zaman Dr Mahathir dulu, kita tak susah.

“Walaupun berlaku krisis ekonomi, kita dapat hidup macam biasa. Sebab dia berjaya tambat matawang. Barang tak naik.

“Dia tak buat GST. Dia hanya kenakan cukai kepada orang kaya saja. Sekarang orang miskin pun kena cukai dengan GST,” katanya.
Seorang ahli perniagaan berusia 36 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, sejak PRU13 perniagaannya tidak begitu baik disebabkan GST.

“Untung daripada perniagaan semakin kurang disebabkan GST.

“Saya yakin dengan janji Dr Mahathir disebabkan semasa zaman pemerintahannya, ekonomi Malaysia lebih baik dan tiada GST.

“Harapan saya ialah kerajaan baru Pakatan Harapan akan menghapuskan GST selepas PRU14,” katanya.

Timbalan Presiden PH Lim Guan Eng semasa berucap mempersoalkan mengapa kerajaan hanya memperuntukan RM 7 bilion untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedangkan mengutip RM 45 bilion setahun daripada GST.

“Pulau Pinang boleh bagi wang kepada warga emas, pemandu bas dan pemandu teksi kerana kami tak makan wang. Asalkan kerajaan tak makan wang, mesti cukup wang.

“Jangan lepaskan peluang kali ini. Gantikan perdana menteri yang betul-betul boleh bantu rakyat.

“Pulau Pinang dan Selangor sudah buktikan kerajaan bersih menguntungkan rakyat,” kata ketua menteri Pulau Pinang itu.

Seorang tutor sambilan yang hanya mahu dikenali sebagai Seri pula berkata, beliau dan suaminya datang ke program tersebut hanya untuk mendengar penerangan Dr Mahathir.

“Suami saya dan saya belajar di Mesir, apabila kami beritahu orang kami dari Malaysia, mereka akan sebut Dr Mahathir.

“Beliau adalah ikon negara,” kata pengundi atas pagar berumur 28 tahun itu.

Ibu kepada dua orang anak itu berkata, beliau percaya Dr Mahathir yang berusia 92 tahun itu benar-benar ikhlas mahu menyelamatkan negara.

Katanya, beliau akan melihat terlebih dahulu manifesto PH sebelum membuat keputusan untuk memberikan undi pada PRU14.

- The Malaysian Insight

No comments

Loading...