Header Ads

Loading...

Kerusi Maria Chin Belum Diputuskan - Dr M



KUALA LUMPUR -  Pakatan Harapan masih belum membuat keputusan, sama ada memberi ruang kepada Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah untuk bertanding pada PRU14.

Bagaimanapun, Harapan akan cuba  memberi kerusi ‘selamat’ untuk ditandingi Maria.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gabungan itu perlu meneliti secara terperinci kawasan diberikan kepada aktivis itu, yang jelas tidak memberi peluang kepada BN.

“Kami perlu berbincang dengan dia (Maria). Kami masih belum putuskan apa-apa kerana antara perkara kita tak mahu lihat ialah pertandingan tiga penjuru, yang jadi empat, lima dan enam penjuru.


Loading...

"Ia hanya akan memecahkan lagi undi dan pemenangnya ialah BN,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen, hari ini.

Semalam, Maria mengumumkan beliau meletakkan jawatan dalam NGO Bersih dan bersedia bertanding pada PRU14 sebagai calon Harapan di kerusi persekutuan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Sekretariat Harapan, Saifuddin Abdullah mengesahkan, PKR telah membawa perkara tersebut dalam mesyuarat biro politik mereka sebelum ini.

“Bagaimanapun tiada keputusan dibuat setakat ini,” katanya.

Menurut sumber, Maria mungkin akan bertanding salah satu kerusi PKR, sama ada Batu di Kuala Lumpur atau Pandan, dan Petaling Jaya Selatan di Selangor.

Selain itu, Mahathir berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan akan berbincang mengenai logo atau simbol bersama yang akan digunakan semua calon mereka untuk PRU14, minggu depan.

Beliau turut memberitahu, hanya tiga negeri iaitu Selangor, Perak dan Melaka masih tidak menyelesaikan perundingan kerusi antara empat parti komponen mereka.

“Kita telah pergi kepada soal penyelesaian agihan kerusi. Umumnya telah putuskan jumlah kerusi empat parti. Kita cuma selesai berkenaan beberapa negeri.

“Kita akan umumkan satu simbol yang akan digunakan semua calon kita,” katanya.

Mahathir turut mengumumkan Harapan akan memberi peluang kepada calon daripada parti rakan strategik Harapan seperti Hindraf untuk bertanding pada PRU14.

“Parti ini tidak menjadi parti yang bernaung di bawah Harapan, kerana keempat-empat komponen dalam gabungan itu sudah pun memberikan kerusi masing-masing,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu juga turut mengumumkan, dua parti majoriti kaum India, Hindraf dan Minority Rights Action Party (Mira) telah secara rasmi menjadi rakan baharu Harapan, namun belum putuskan sama ada akan bertanding atau sekadar membantu memenangkan Harapan.

“Parti-parti ini berminat untuk kerjasama dan sokong Harapan.

“Jadi kita perlu cari tempat untuk mereka dan beri pertimbangan kedudukan mereka yang belum kita putuskan lagi,” katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...