Header Ads

Jamal Yunos Elak Jumpa Dr M Kerana ‘Suwey’



KUALA LUMPUR: Walaupun bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tampil sebagai saksi bagi pihaknya, Datuk Seri Jamal Yunos mengelak daripada bertemu saksinya di Mahkamah Tinggi hari ini atas alasan tersendiri.

Pemimpin gerakan Baju Merah itu berkata pengerusi Pakatan Harapan itu akan membawa nasib malang pada dirinya.

“Sebenarnya saya tidak mahu bertemu Dr Mahathir. Kalau boleh nak mengelak. Kalau saya jumpa Dr Mahathir memang ‘suwey’ pada saya.

“Sebab itu saya elak ‘suwey’ ini. Saya tak nak jumpa dan jauh-jauh,” katanya kepada pemberita.

Loading...


Dr Mahathir hadir sebagai saksi pihak Jamal untuk memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Dalam tuntutan mahkamahnya, Maria mendakwa pada 28 September 2016, Jamal mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah terhadap Bersih pada sidang akhbar di luar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau juga mendakwa pada 4 Oktober tahun lepas, Jamal mengeluarkan kata-kata fitnah yang sama terhadap Bersih pada persidangan media di pekarangan ibu pejabat polis Bukit Aman.

Menurut Maria, portal media dan berita kemudiannya menerbitkan kenyataan tersebut, dan perkara itu menjatuhkan reputasinya di mata umum.

Beliau menuntut ganti rugi dan juga injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengeluarkan atau menerbitkan kenyataan sama ada secara lisan, dalam bentuk cetakan atau atas talian.

Dalam perkembangan lain, Jamal juga mengajak rakyat Selangor membawa tuala, sabun dan syampu untuk mandi di pejabat menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Jumaat ini.

Beliau berkata tunjuk perasaan itu bagi membantah masalah bekalan air di Lembah Klang minggu ini.

“Saya minta rakyat Selangor yang nak datang bekerja tidak air nak mandi di rumah, Jumaat ini kita datang pakai tuala bawak sabun bawa syampu datang pejabat menteri besar.

“Di pejabat menteri besar mungkin bekalan air tidak putus-putus dan boleh ramai-ramai mandi di sana,” katanya.


- FMT

No comments

Loading...