Header Ads

'Jaga Parti Sendirilah' - Nasihat Ku Nan Kepada Tun M

Foto: FMT

KEPONG: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menjaga partinya sendiri dan berhenti menuduh kononnya Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak adil kepada parti itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau yakin RoS mempunyai sebab kukuh untuk meluluskan permohonan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti itu sehingga April 2019.

“Suruh dia jaga parti dia sendirilah. RoS mesti ada sebab (meluluskan penangguhan pemilihan UMNO)…kalau kamu tidak ikut undang-undang (susahlah). Negara ini ada undang-undang, tolong ikut undang-undang dan peraturan.


Loading...

“Anda (pembangkang) mempunyai wakil dalam Parlimen yang bercakap mengenai undang-undang tetapi apabila berada di luar anda tidak menghiraukan peraturan dan undang-undang,” katanya selepas meninjau kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, hari ini.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa RoS bersikap berat sebelah dan memberi layanan berbeza kepada UMNO dan pembangkang.

Pada Isnin lepas, RoS mengesahkan kelulusan permohonan UMNO untuk perlanjutan mengadakan pemilihan di peringkat majlis tertinggi bagi 2017.

Menurut RoS ia adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Pertubuhan Fasal 10.17, yang memperuntukkan penangguhan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan, yang tidak boleh melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.



Sementara itu, Tengku Adnan berkata BN sudah menetapkan senarai akhir calon untuk Pilihan Raya Umum ke-14 dan ia akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bila-bila masa. - BERNAMA

No comments

Loading...