Header Ads

Isu Air: Azmin Jawab Najib



SHAH ALAM - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyangkal tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa kerajaan negeri tidak mampu menguruskan isu air sehingga terpaksa melakukan catuan dan sebagainya.

Menurutnya, tuduhan Najib tidak berasas memandangkan isu air di Selangor  bukan disebabkan kekurangan bekalan air sebaliknya disebabkan kemalangan ketika kerja-kerja selenggara pam dijalankan.

Katanya, fasiliti yang mempunyai masalah pada ketika ini dimiliki oleh Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan ia bukan di bawah kuasa kerajaan negeri memandangkan urusan pengambilalihan Splash belum dimuktamadkan.

Loading...


"Kedua-dua pihak diberi tempoh hingga Julai 2018 untuk muktamadkan perkara itu, jadi kalau bukan aset kita macam mana mereka mahu mendesak kita untuk lakukan kerja selenggara.

"Tapi kita tak boleh masuk sebab ini kemudahan milik Splash, jadi kita minta kebenaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) untuk melihat dan lakukan siasatan, kemudiannya kita dapati ada beberapa kemudahan yang perlu kita baiki.

"Justeru, kita cadang kepada Splash agar tindakan itu diambil segera bila kita kenal pasti punca pada 26 Januari lalu, tapi Span yang berada di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha) mengeluarkan garis panduan yang mengatakan kerja-kerja selenggara tidak boleh dilakukan seminggu sebelum atau selepas mana-mana tarikh perayaan.

"Jadi kita terpaksa tunggu sehingga 6 Mac disebabkan perayaan Tahun Baharu Cina. Kita dah ambil langkah proaktif dengan mengusulkan tarikh selenggara pada 1 Mac, jadi siapa yang harus disalahkan?," katanya.

Mohamed Azmin turut menyangkal dakwaan antara salah satu kegagalan kerajaan negeri adalah dalam menurunkan peratus Non-Revenue Water (NRW) dalam proses rawatan air.

Menurutnya, antara salah satu usaha kerajaan negeri apabila mengambil alih industri air di Selangor adalah bagi menurunkan NRW.

"Dalam tempoh tiga tahun ini kita dah berjaya kurangkan NRW daripada 35 peratus kepada 31 peratus. Jadi saya kira tak tepat sekiranya mendakwa tak ada usaha dilakukan, antara usaha kerajaan negeri ialah mengambil inisiatif ganti paip-paip lama di 84 hotspot yang melibatkan kos ratusan juta ringgit.

"Ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri kerana paip-paip di dalam Selangor sudah terlalu lama.

"Kita tak tunggu hingga kerajaan persekutuan  selesaikan perkara ini sebaliknya kita guna rizab negeri untuk selesaikan, malah sudah dua tahun berturut-turut dan akan diteruskan hingga semua paip-paip ini diganti," katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...