Header Ads

Guan Eng Beri Bayangan Chow Pengganti Jika Disabit Rasuah



GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi bayangan Pengerusi DAP Negeri, Chow Kon Yeow akan menggantikannya jika beliau disabitkan kesalahan terhadap kes rasuah yang dihadapinya.

“Kita akan lawan sampai habis. Kita tahu dia (Barisan Nasional) sasar saya.

“Kalau Lim Guan Eng tak ada, Chow Kon Yeow ada. Kita sedia korbankan diri kerana kita mahu selamatkan Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan 10 tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di Padang Kota Lama, di sini, malam tadi.


Loading...

Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan barisan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Pakatan Harapan.

Perbicaraan kes rasuah Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran ditetapkan selama 23 hari bermula 26 Mac ini di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Pada 30 Jun, 2016, Guan Eng engaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan keuntungan bagi dirinya dan isterinya, Betty Chew, dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan perumahan awam kepada syarikat sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 18 Julai, 2014.

Guan Eng juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan habuan bagi dirinya dengan membeli sebuah rumah dari Phang dengan harga RM2.8 juta iaitu di bawah harga pasaran RM4.27 juta pada 28 Julai, 2015.

Phang, yang juga presiden Magnificent Emblem, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan ketua menteri itu bagi mendapatkan rumah untuk beliau (Guan Eng) di Jalan Pinhorn, di sini dengan harga RM2.8 juta iaitu tidak sepadan dengan nilai pasaran bagi hartanah berkenaan iaitu RM4.27 juta.

- Bernama

No comments

Loading...