Header Ads

‘Giant killers’ Cabaran BN/Umno



PAKATAN Harapan sudah mula gerakan mengumpulkan puluhan pembunuh raksasa atau biasanya digelar ‘giant killers’ untuk menumpaskan BN dalam PRU14 akan datang.

Sehingga semalam, gabungan empat parti itu - PKR, Bersatu, DAP dan Amanah - sudah mendaftarkan dua intelek muda, Wan Saiful Wan Jan dan Dr Maszlee Malik.

Wan Saiful adalah bekas Pengarah Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) sementara Maszlee adalah bekas profesor pembantu di Jabatan Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur dan lebih terkenal sebagai moderator debat dan wacana politik serta penganalisis politik Timur Tengah, pemikiran politik Islam dan gerakan Islam kontemporari.

Mereka menyertai Bersatu, dengan Wan Saiful dilantik sebagai Timbalan Ketua Biro Strategi dan Dasar Bersatu.


Loading...

Menurut sumber yang rapat dengan Harapan, gabungan parti itu sudah menyenaraikan ramai intelek muda untuk menyertainya.

“Setakat yang saya tahu, sudah ada hampir 20 orang,” kata sumber itu yang tidak mahu dikenali.

Katanya, mereka ini akan diberi kepercayaan menjadi pembunuh raksasa, seperti yang pernah dilakukan beberapa calon Pakatan Rakyat dalam PRU-PRU lepas.

Antara mereka Naib-Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, yang membuat kejutan menewaskan Ketua Wanita Umno yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Jalil untuk kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Nurul Izzah mengulangi kejutan mengalahkan Menteri Wilayah Persekutuan Raja Nong Chik Zainal Abidin di kawasan sama.

Menurut sumber itu, Harapan sudah menyusun strategi untuk meletakkan pembunuh-pembunuh raksasa ini di kawasan-kawasan utama di seluruh negara, terutama kawasan yang kini dipegang oleh pemimpin-pemimpin Umno dan parti-parti komponen, termasuk Pekan dan Putrajaya.

Ahli Parlimen Pekan adalah Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ahli Parlimen Putrajaya adalah Setiausaha Agung Umno dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sumber itu berkata, adalah terlalu awal mengumumkan siapa akan diletakkan di situ.

Yang sudah hampir sah ialah Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertanding di kawasan Parlimen Langkawi, Kedah.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin hampir pasti mempertahankan kawasan Parlimen Pagoh, Johor, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Jerlun dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah di Indera Mahkota, Pahang.

Wan Saiful, 43, anak kelahiran Alor Setar, Kedah, dipercayai akan bertanding di Titiwangsa, sementara Maszlee, 44, yang dilahirkan di Johor Bahru, dijangka diberi kerusi Dun.

Menurut sumber itu, seorang demi seorang intelek muda akan diperkenalkan sedikit masa lagi.

Saifuddin, ketika dihubungi, berkata: “Harapan mengalu-alukan kemasukan Wan Saiful dan Dr Maszlee. Mereka adalah tokoh berwibawa yang menguasai isu-isu Melayu-Islam. Ini amat signifikan kerana Harapan memerlukan penambahan undi Melayu.

“Saya harap akan ada lagi tokoh-tokoh seperti mereka yang menyertai Harapan,” kata Saifuddin, yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi di bawah pentadbiran Najib, sehingga 2013.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, pemilihan seperti ini boleh dianggap penting oleh Harapan bagi menunjukkan seolah-olah ada perubahan.

“Misalnya, kehadiran Wan Saiful, Dr Maszlee dan lain-lain boleh memberi nilai tambah kerana bertanggapan ada penonjolan perubahan untuk memenuhi citarasa pengundi muda tetapi ini tidak semestinya menjamin kemenangan.

“Aktivis politik dan tokoh politik berbeza. Kita pernah melihat kekalahan Chandra Muzaffar, Sanusi Osman, Syed Husin Ali, Aziz Bari dan calon BN PRK Sungai Limau Dr Ahmad Sohaimi,”katanya.

Katanya, kelayakan latar belakang hanya satu daripada faktor.

“Golongan intelektual dan NGO jarang kekal dalam politik kerana kekangan sokongan akar umbi, sumber terhad dan politik dalaman parti walaupun dahulu cikgu menjadi pilihan utama sebagaimana ketara dalam BN,” katanya.

Bagi calon-calon ini, katanya, jika diberi kawasan selamat, barangkali mampu menterjemahkan idea dalam bentuk dasar dan pelaksanaan arus perdana.

Ketua Pemuda PKR. Nik Nazmi Nik Ahmad, menyifatkan kemasukan intelek muda ini sebagai tindakan positif.

“Kita kini bukan lagi pembangkang, tetapi kerajaan menunggu,” katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...