Header Ads

Dr Mahathir Kehilangan Tonggak Politik Sanusi Junid


Bekas menteri persekutuan dan menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid meninggal dunia awal Jumaat minggu lalu. Allahyarham adalah bekas ahli politik Umno dan Umno Baru, tetapi di akhir hayatnya beliau adalah ahli PPBM. Namun sepanjang hayatnya, beliau adalah penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham pertama kali keluar Umno pada 2008 bersama Dr Mahathir kerana membantah kepimpinan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau turut bersama Dr Mahathir menyertai semula Umno selepas kepimpinan bertukar kepada Datuk Seri Najib Razak.

Beliau sekali lagi keluar dari Umno, juga bersama Dr Mahathir pada 2016 sebagai membantah kepimpinan Najib. Apabila Dr Mahathir menubuhkan PPBM, beliau turut menyertai parti pembangkang itu.

Pertama kali penulis berjumpa beliau pada 1980. Pada masa itu, penulis berada di tahun dua Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Ia adalah semasa satu majlis anjuran Biro Tata Negara di sebuah banglo milik Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan di Kuala Lumpur. Beliau beri ucapan pada majlis itu. Turut hadir ialah Abdullah.


Loading...

Sanusi pandai bercerita dan seperti kebanyakan orang, penulis juga terhibur dengan ceritanya dan kagum pada kreativiti beliau.

Pada masa itu, Sanusi berusia 37 tahun dan merupakan timbalan menteri dalam negeri, sementara Abdullah pula adalah timbalan menteri Wilayah Persekutuan. Datuk Seri Anwar Ibrahim pula masih menjadi presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Sanusi sendiri antara pengasas Abim dan pernah menjadi naib presidennya. Najib pula adalah ahli Parlimen Pekan yang disandangnya sejak 1976.

Kali ke-2 penulis menemui Sanusi ialah pada tahun sama juga, tetapi di kediaman Dr Mahathir yang ketika itu ialah timbalan perdana menteri di Bukit Tunku dalam satu majlis berbuka puasa yang diadakan untuk sekumpulan pelajar UPM. Abdullah juga hadir. Tun Musa Hitam yang dijadualkan hadir, bagaimanapun tidak dapat bersama kami.

Tetapi ketika itu, Musa, Abdullah dan Sanusi dilihat sebagai “orang Mahathir” yang bersedia berperanan sebagai satu pasukan, apabila Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Pada 1981, Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan Musa yang merupakan naib presiden Umno dipilih sebagai timbalan perdana menteri dan Sanusi pula dilantik sebagai menteri pembangunan negara dan luar bandar. Abdullah pula dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menjelang pilihan raya umum 1982, Anwar dibawa masuk ke Umno. Beliau kemudian dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, sementara Najib menyandang jawatan menteri besar Pahang.

Semasa menjadi pemberita Utusan Malaysia dari 1982 hingga 1986, penulis sering membuat liputan acara-acara yang melibatkan Anwar, Abdullah, Sanusi dan Najib.

Sanusi menjadi menteri pembangunan negara dan luar bandar sehingga 1986. Sepanjang masa itu, pergolakan politik dalam Umno membabitkan persaingan Musa dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Kedua-duanya bertanding untuk jawatan timbalan presiden Umno dalam 2 pemilihan. Dalam pertandingan itu, Dr Mahathir memihak kepada Musa, begitu juga Sanusi.

Kedudukan Sanusi sebagai orang kanan Dr Mahathir lebih terserlah apabila beliau dilantik sebagai setiausaha agung Umno pada 1984.

Dalam rombakan Kabinet 1986, beliau dilantik sebagai menteri pertanian menggantikan Anwar yang menyandang jawatan itu sejak 1985. Anwar dilantik menjadi menteri pelajaran menggantikan Abdullah yang dipindahkan ke Kementerian Pertahanan.

Satu ketika selepas Anwar dilantik menjadi menteri pPelajaran, penulis berjumpa Sanusi di Kementerian Pertanian. Masa itu, penulis bertanya sama ada Dr Mahathir sedang menyediakan Anwar untuk menjadi perdana menteri. Daripada jawapannya, beliau tidak suka soalan itu. Tafsiran penulis ialah beliau tidak setuju Dr Mahathir memberi laluan cepat untuk Anwar.

Pada 1987, tercetus krisis Dr Mahathir dan Musa. Dr Mahathir memilih Tun Ghafar Baba, seorang naib presiden Umno menggantikan Musa untuk menjadi timbalan perdana menteri.

Musa beregu dengan Tengku Razaleigh menentang Dr Mahathir. Sanusi menyokong Dr Mahathir.

Ada pemerhati berseloroh menamakan penyokong Dr Mahathir dengan singkatan A.I.D.S, iaitu Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Sanusi semasa pertarungan itu.

Pada masa itu, Abdullah dianggap “orang Musa” dan digugurkan daripada Kabinet pada 1987.

Pada 1988, Umno diisytiharkan haram. Tengku Razaleigh menubuhkan Semangat 46 dan Dr Mahathir mewujudkan Umno Baru. Sanusi terus bersama Dr Mahathir dalam Umno Baru. Pada 1990, beliau menjadi naib presiden Umno Baru.

Abdullah pula turut bersama Dr Mahathir dan pada 1991, kedudukannya dalam Kabinet dipulihkan dengan beliau dilantik menjadi menteri luar.

Pada 1993, Umno mengadakan pemilihan. Anwar sedang merancang menyingkirkan Ghafar. Beliau menubuhkan “Team Wawasan” yang terdiri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Najib dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib bagi jawatan naib presiden.

Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman untuk jawatan ketua Pemuda dan ketua Wanita. Ketua Pemuda dan ketua Wanita juga bertaraf naib presiden.

Ini bermakna Abdullah dan Sanusi menjadi calon-calon yang menentang pasukan Anwar. Ghafar menarik diri dan Anwar menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan presiden. “Team Wawasan” menyapu bersih semua jawatan naib presiden.

Ekoran kemenangan pasukan itu, Sanusi digugurkan daripada Kabinet pada 1996 dengan Dr Mahathir melantiknya sebagai menteri besar Kedah. Tetapi, Abdullah kekal menteri luar. Najib pula dilantik menteri pendidikan pada 1995.

Apabila berlaku krisis antara Dr Mahathir dan Anwar pada 1998, semua tokoh Umno termasuk Abdullah, Sanusi dan Najib bersama Dr Mahathir.

Perdana menteri itu melantik Abdullah sebagai pengganti Anwar dan mereka berjaya mematahkan cabaran pembangkang pada pilihan raya umum 1999.

Najib kekal sebagai menteri pendidikan, tetapi Sanusi mengakhiri kerjaya politiknya dengan tidak lagi menjadi menteri besar.

Pada 2000, Sanusi dilantik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), sementara Najib berpindah ke jawatan menteri pertahanan.

Pada 2004, Dr Mahathir bersara dan melepaskan jawatannya kepada Abdullah dan Najib dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Abdullah memperkenalkan gagasan Islam Hadhari dan mengarahkan UIAM dijadikan pusat mengetengahkan konsep ini. Sanusi tidak setuju dan melepaskan jawatannya sebagai presiden UIAM pada 2008.

Walaupun Dr Mahathir sudah bersara daripada politik, tetapi beliau menggunakan pengaruhnya ke atas kerajaan. Beliau mengenakan tekanan terhadap Abdullah. Usaha beliau itu disokong Muhyiddin yang merupakan naib presiden Umno, Sanusi juga menyebelahi Dr Mahathir.

Tekanan Dr Mahathir itu berjaya menyebabkan Abdullah melepaskan jawatan dan Najib menjadi perdana menteri pada 2009. Beliau juga melantik Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri.

Selepas itulah penulis berjumpa Sanusi buat kali terakhir, iaitu di sebuah hotel berbentuk rumah miliknya di Bangsar.



Pada masa itu, beliau sudah berhati-hati dalam soal pemakanan kerana penyakit berkaitan jantung.

Tetapi, beliau adalah tokoh yang memberi sumbangan besar kepada usaha pemakanan sihat di negara ini. Ketika menjadi menteri pertanian, beliau melancarkan kempen makan ulam dan minum air kelapa.

Selepas pilihan raya umum 2013, Dr Mahathir tidak berpuas hati dengan pentadbiran Najib, khususnya berhubung isu 1MDB.

Muhyiddin juga menyatakan rasa tidak puas hati terhadap ketuanya. Maknanya ada tanda-tanda supaya Najib berundur seperti mana dialami Abdullah.

Ternyata Sanusi turut menyebelahi Dr Mahathir. Tulisan beliau dalam blognya menyerlahkan perkara ini.

Apabila Dr Mahathir dan Muhyiddin menubuhkan PPBM, beliau pun turut serta. Maknanya sehingga akhir hayatnya, beliau adalah tonggak kepada politik Dr Mahathir.

Semasa berkuasa dahulu, Dr Mahathir memberi jawatan timbalan perdana menteri kepada Musa, Anwar, Abdullah dan Najib yang akhirnya tidak disenangi beliau.

Bayangkan kalau Sanusi yang diberi peluang oleh Dr Mahathir untuk menjadi timbalan perdana menteri dan akhirnya menerajui negara ini.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili Malaysian Update.

Sumber: FMT

No comments

Loading...