Header Ads

Dewan Rakyat Kecoh Isu Berita Palsu



KUALA LUMPUR – Sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika dengan pertikaman lidah beberapa anggota Parlimen berhubung penggubalan akta baharu bagi menangani penyebaran berita palsu.

Kekecohan timbul ketika Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata penggubalan akta itu penting memandangkan mutakhir ini terdapat banyak penyebaran berita palsu terutama daripada  pembangkang yang bertujuan mengelirukan rakyat.

Loading...


“Mereka (pembangkang) hasut dan berbohong kepada rakyat, ceramah siang malam, sebar berita tidak tepat, saya percaya rakyat di luar sana tidak akan termakan dengan hasutan palsu mereka,” katanya.

Bung Moktar turut membidas pihak pembangkang yang berdiam diri apabila terpalit dengan isu tindakan kerajaan negeri Selangor menyerahkan kembali tanah di mukim Ijok kepada dua syarikat pemaju yang kemudiannya menjual tanah itu kepada pihak ketiga mengikut harga pasaran berjumlah RM1.18 bilion, selain isu projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Anggota Parlimen Kinabatangan itu menafikan dakwaan pembangkang bahawa Malaysia sebuah negara muflis dengan memberi petunjuk ramai rakyat berkunjung ke luar negara tahun lalu.

Tian  Chua (PKR-Batu), yang tidak berpuas hati, bangun mencelah dengan menyindir bahawa rakyat Malaysia semakin maju dengan memiliki kapal layar mewah yang dirampas di Indonesia.

“Inilah contoh pemimpin pembangkang yang suka sebar berita palsu. Mahkamah mana yang sahkan bahawa kapal ini milik rakyat Malaysia? Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat sampai hari ini tidak boleh buktikan apa-apa. Tidak ada seorang pun dibawa ke mahkamah,” katanya.

Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang turut mencelah membidas tindakan pembangkang asyik menimbulkan isu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun telah disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Sejak kapal layar mewah, Equanimity dirampas di Bali oleh polis Indonesia, pelbagai dakwaan palsu tersebar, antaranya turut dikaitkan dengan pembelian kapal itu oleh hartawan kontroversi Jho Low yang kononnya menggunakan dana AS$250 juta daripada 1MDB.

-- BERNAMA  

No comments

Loading...