Header Ads

Loading...

Desak PM Campur Tangan


.
SHAH ALAM - Dewan Industri Buku Malaysia (MBIC) akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selewat-lewatnya Isnin ini supaya tindakan pembetulan dibuat untuk mengembalikan semula baucer buku sebagaimana disebut dalam Bajet 2018.

Pengerusinya, Ishak Hamzah berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh kepimpinan bagi memastikan industri buku di negara ini tidak lumpuh berikutan tindakan kerajaan mengkreditkan bantuan baucer buku sebanyak RM250 dalam Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) memberi impak sangat besar.

“Kami telah merangka satu memorandum terakhir atau surat terakhir yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri.


Loading...

“Kalau PM tidak mahu bantu kami, saya khuatir bahawa bukan sekadar industri buku semakin lumpuh, saya ingat kegiatan ilmu perbukuan semakin kurang, sokongan warga industri buku, samada penerbit, pengedar, pencetak dan penulis buku terhadap permintaan itu saya rasa akan menjadi sangat pudar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata sebagai mengulas laporan Kementerian Pendidikan Tinggi yang menyalurkan RM300 juta untuk pembayaran kepada 1.2 juta penuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta yang layak menerima bantuan KADS1M.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pembayaran itu akan disalurkan melalui Bank Rakyat bermula 15 Mac ini, berdasarkan padanan data penuntut yang mempunyai akaun Bank Rakyat, dengan data maklumat penuntut layak menerima bantuan itu daripada kementeriannya.

Ishak berkata, apabila bantuan baucer buku dikreditkan dalam KADS1M pelajar bagi tujuan pembelian buku yang telah dilaksanakan bermula tahun lalu, perkembangan itu langsung tidak membantu industri buku kerana wang tersebut boleh dikeluarkan pelajar untuk berbelanja perkara lain.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Kementerian Pendidikan Tinggi tidak ada rasa simpati terhadap industri melalui pelaksanaan terbabit berikutan sebelum ini pihaknya pernah mengadakan pertemuan industri dengan menteri selain pernah menghantar  beberapa memorandum sebelum ini bagi menyuarakan perkara sama.

Perkembangan mengecewakan itu boleh dilihat apabila sejak tahun lepas katanya, terbitan judul buku baharu tidak mencapai 15,000 judul buku berbanding sebelumnya 20,000 lebih judul diterbitkan.

Jelasnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi industri buku tahun lalu menunjukkan penurunan apabila hanya mencapai tidak lebih RM1.2 bilion berbanding tahun sebelumnya dengan KDNK RM2 bilion yang turut mengambil kira kelemahan ekonomi semasa.

“Saya rasa daripada pengamatan kami sejak setahun lepas, agak ramai penerbit-penerbit yang telah menghentikan perniagaan, kedai-kedai buku yang telah menutup syarikat mereka, penulis yang telah berhenti menulis dan syarikat yang memberhentikan pekerja. Paling kurang mungkin 500 orang atau lebih kehilangan pekerjaan,” katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...