Header Ads

Bicara Bela Diri Kes Tangguh, Tertuduh Muntah, Cirit



KUALA LUMPUR – Perbicaraan membela diri hari keenam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais di Mahkamah Tinggi hari ini ditangguhkan kerana dua tertuduh dalam kes itu muntah dan cirit-birit.

Peguam V.Rajehgopal memaklumkan kepada mahkamah bahawa dua anak guamnya iaitu tertuduh kelima, M.Vishwanath dan tertuduh ketujuh, S.Ravi Chandaran dipercayai mengalami keracunan makanan.

“Saya tidak fikir Vishwanath boleh memberi keterangan hari ini kerana dia muntah-muntah di dalam bilik lokap mahkamah,” katanya yang kemudian memohon prosiding hari ini ditangguhkan kepada hari lain manakala Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin tidak membantah permohonan itu.


Loading...

Hari ini sepatutnya mahkamah mendengar keterangan pembelaan Vishwanath, yang merupakan saksi pembelaan keempat.

Hakim Datuk Azman Abdullah berkata mahkamah juga khuatir jika perbicaraan diteruskan, ia akan menjejaskan kedua-dua tertuduh dan beliau menangguhkan perbicaraan kes itu kepada 9 April.

Terdahulu sebelum prosiding bermula, kedengaran dua individu yang berada di lokap mahkamah muntah-muntah sebelum dimaklumkan mereka adalah tertuduh dalam kes itu.

R. Dinishwaran, 26; A.K Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; S. Nimalan, 25, Ravi Chandaran, 47, dan doktor tentera Kolonel Dr R.Kunaseegaran, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat Kevin Morais, 55, ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015. – BERNAMA

No comments

Loading...