Header Ads

Bersatu Buka Pintu Kepada Mahfuz, Azmi



ALOR SETAR - Ura-ura mengatakan dua lagi wakil rakyat Kedah bakal berhijrah kepada Bersatu semakin kuat diperkatakan kebelakangan ini.

Ia gara-gara tular gambar dua wakil rakyat berbeza parti duduk semeja berbual ‘mesra’, iaitu Adun Bayu, Datuk Azmi Che Husain dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Turut kelihatan, pegawai kepada Timbalan Presiden Bersatu, Mohd Khairil Othman serta AJK Umno Bahagian Baling, Mohd Taufik Yaacob.


Loading...

Mukhriz ketika ditanya kemungkinan kedua-dua tokoh itu memilih Bersatu menjelang PRU14 akan datang, katanya, hanya individu berkenaan boleh membuat keputusan itu namun parti itu bersedia membuka pintu kepada mereka.

“Jika benar Azmi dan Mahfuz mahu sertai Bersatu, kita alu-alukan, namun belum ada kepastian tentang apa yang dihebohkan itu,” katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya sudah pun menganggap Mahfuz sebahagian daripada Pakatan Harapan (Harapan) walaupun belum mengumumkan parti pilihannya.

“Mahfuz belum tetapkan keputusan pilih parti mana dalam Harapan. Beliau hanya keluar Pas dan status parti masih tergantung. Yang penting, beliau sudah jadi sebahagian daripada Harapan dan ia bagi kekuatan kepada gabungan ini,” katanya.

Berdasarkan pengamatan politik di Baling, kedudukan Azmi juga ‘tidak selamat’ dan kemungkinan tidak dicalonkan semula di kerusi Bayu, gara-gara agak lantang bersuara mengkritik parti selain didakwa tidak mempunyai hubungan baik dengan Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengulas perkara itu, Mukhriz berkata, sekiranya Azmi berhasrat mengubah haluan politiknya, Bersatu tiada masalah menerima Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Kedah itu.

“Setakat ini, saya tak dapat bayangan Umno Baling akan tawarkan kerusi untuk Azmi bertanding kerana umum mengetahui hubungan antara dua pemimpin itu kurang mesra.

"Azmi masih ada pilihan sertai parti lain jika ingin teruskan karier politiknya,” katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...