Header Ads

Loading...

Anwar Jadi PM, Apa Nasib Wan Azizah?



ISU kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi timbalannya mula menarik perhatian ramai. Senario tersebut bukan sekadar dibincang di kedai-kedai kopi, dalam kalangan ahli politik dan penganalisis, malah ditimbulkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Ada yang berpendapat, jika ia berlaku, banyak perbincangan mengenai pentadbiran dan hala tuju negara ini sudah boleh dibuat di ruang tamu dan di bilik tidur sahaja. Dalam Perlembagaan, tidak ada disebut pasangan suami isteri tidak boleh dilantik sebagai pemimpin utama.

Fasal 43 (2) Perlembagaan menyebut lantikan perdana menteri hendaklah daripada kalangan ahli Dewan Rakyat.


Loading...

Tiga hari lalu, Najib menyatakan sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU14 akan datang negara akan berhadapan dengan dua senario.

Pertama, jika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, beliau mungkin tidak akan melepaskan jawatan itu kepada Anwar kerana Mahathir ’menganggap semua pemimpin tidak betul’.

Memetik Mahathir pada 2016, Najib berkata, tidak mungkin beliau membenarkan seorang yang bermasalah menjadi perdana menteri.

Mahathir, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, katanya, pernah mengatakan Anwar sudah tua untuk memimpin negara.

Senario kedua pula, kata Najib, kalau Mahathir memilih untuk buat `u-turn’ dan melepaskan jawatan perdana menteri kepada Anwar, akibatnya jawatan perdana menteri dan timbalannya akan disandang pasangan suami isteri.

“Inilah nepotisme tahap paling kritikal yang diamalkan mereka. Dan sudah tentu rakyat akan memberontak terhadap struktur kepemimpinan seolah-olah mereka merajai Malaysia,” kata Najib dalam blognya baru-baru ini.

Sekiranya Harapan berhasrat memerintah negara, mereka perlu menang dua per tiga, iaitu sekurang-kurangnya 148 kerusi Parlimen atau majoriti mudah untuk ambil alih kuasa. Dalam PRU13 pada 2013, BN memenangi 133 kerusi diikuti DAP (38), PKR (30) dan Pas (21).

Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang kekal ditadbir pembangkang. Manakala Kedah dirampas kembali oleh BN dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik menjadi menteri besar.

Senario yang digambarlkan Najib, bagaimanapun, jelas tidak menjadi halangan buat pakatan pembangkang untuk terus menaruh harapan untuk menang PRU14, di bawah teraju Mahathir.

Mahathir dilihat masih mempunyai aura dalam kalangan orang Melayu untuk memimpin negara ini buat beberapa masa ini.

Menurut Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, Mahathir amat diperlukan kerana semua orang tahu keputusan PRU14 kali ini bergantung kepada undi Melayu sebagai faktor penentu.

Penerimaan Mahathir juga masih berbisa ketika program-program ceramahnya yang dilakukan di seluruh negara.

”Ini terbukti dengan sambutan terhadap program-program Mahathir di kawasan-kawasan Felda dan luar bandar. Pakatan Rakyat dulu tak dapat sambutan begini,” katanya.

Menjawab isu Najib mengatakan Anwar dan Wan Azizah akan mengamal nepotisme apabila dilantik menjadi perdana menteri dan timbalan, katanya isu berkenaan tidak timbul.

”Ini kerana dalam Harapan, kami gabungan saksama, tidak ada parti dominan. Dalam BN, Umno dominan. Sebab itu perdana menteri dan timbalan perdana menteri daripada parti sama. Berbeza dengan Harapan, perdana menteri dan timbalan bukan daripada parti yang sama,” jelasnya.

Sebelum membacakan pengumuman itu semasa Konvensyen Pakatan Harapan Ke-2 di Shah Alam 7 Januari lalu, Saifuddin berkata, empat pemimpin utama DAP, Bersatu dan PKR telah tandatangani persetujuan bersama berkenaan kedudukan perdana menteri dan timbalan serta kedudukan Anwar sebagai perdana menteri ke lapan.

Perjanjian tersebut juga jelas menyebut Anwar akan menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri sebaik sahaja proses undang-undang mendapatkan pengampunan dan akan kembali memegang jawatan politik dan kerajaan.

- Sinar Harian

No comments

Loading...