Header Ads

5 Kelemahan Kerajaan Selangor Buat Rakyat Derita



HULU SELANGOR – Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan masalah bekalan air dan kos harga rumah tinggi antara lima kelemahan besar gagal ditangani kerajaan pembangkang di Selangor.

Selain itu, berdasarkan kajian dilakukan, beliau berkata kelemahan lain kerajaan negeri ialah mengenakan cukai yang membebankan rakyat negeri ini, pengurusan sampah lemah dan tidak menguruskan sungai dengan baik.

Kegagalan tersebut malah membawa kepada peningkatan penyakit berjangkit apabila Selangor terus muncul sebagai ‘juara’ paling ramai pesakit demam denggi akibat penularan berleluasa nyamuk aedes di seluruh negeri tersebut.


Loading...

“…air gagal diuruskan oleh kerajaan negeri, tengok sahaja pembangkang di Kelantan kita (Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri) boleh uruskan air tetapi di sini (Selangor) mereka lebih utamakan politik, bukan hal rakyat.

“Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd.) memaklumkan ada enam daerah kritikal, cemas, ibarat telur di hujung tanduk, sebab bekalan lemah, kualiti semakin teruk, tekanan rendah, bil kelam-kabut, servis tidak baik.

“…inilah kisah pentadbiran air di Selangor,” kata Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika melancarkan jentera pilihan raya BN Selangor di Dataran Kampung Sungai Chik, Ulu Yam Baharu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi BN Selangor yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Tidak ketinggalan ialah Presiden MIC yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim.

Hadir sama ialah anggota Parlimen Hulu Selangor, Datuk P. Kamalanathan; anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan ADUN Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar.

Berucap di hadapan kira-kira 5,000 jentera dan penyokong BN Selangor, Najib yang juga Presiden UMNO berkata lima kelemahan tersebut perlu diterangkan kepada rakyat agar mereka tidak terus ditipu dengan janji pembangkang.

Beliau bahkan memberi jaminan bahawa semua kelemahan tersebut boleh diselesaikan oleh pihak BN sekiranya ia berjaya mendapatkan semula kuasa politik di negeri ini yang hilang sejak tahun 2008 lalu.

Dalam pada itu, Najib berkata untuk pengurusan Lembah Klang yang turut merangkumi Kuala Lumpur dan Selangor, ia mesti dilaksanakan secara bersepadu di bawah hanya satu pentadbiran kerajaan iaitu kerajaan BN.

Kuala Lumpur dan Selangor tidak boleh hidup diasingkan kerana kebanyakan projek pembangunan seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan dua kawasan ini.

“Selangor dan Kuala Lumpur tak boleh asing. Jangan fikir masa depan negara diuruskan baik kalau Selangor lain Kuala Lumpur lain, tidak boleh. Kena bawah satu kerajaan, kerajaan BN,” katanya.

- Mynewshub

No comments

Loading...