Header Ads

2 Ketua Pemuda PH Dipanggil Beri Keterangan



PUTRAJAYA: Dua pemimpin Pemuda masing-masing dari DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, hari ini berhubung penganjuran perhimpunan dan penyerahan memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di Kompleks D, Presint 1, pada 21 Februari lalu.

Kedua-dua mereka, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Wong Kah Woh dan Ketua Pemuda Amanah, Sany Hamzan, tiba di IPD Putrajaya kira-kira jam 1.30 tengah hari sebelum dilihat memasuki ibu pejabat polis berkenaan pada jam 2.15 petang.

Selain Kah Woh dan Sany, seorang lagi yang dipanggil memberi keterangan adalah Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Loading...

Bagaimanapun, Syed Saddiq tidak dapat hadir memberi keterangan, dan akan membuat temu janji dengan pegawai penyiasat kes berkenaan pada hari lain.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan, ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga mereka dipanggil memberi keterangan berhubung perhimpunan pada 21 Februari lalu di hadapan Kompleks D.

"Kami sudah merakam keterangan Kah Woh dan Sany hari ini berhubung siasatan kes berkenaan. Bagaimanapun, Syed Saddiq tidak hadir hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Kah Woh ketika ditemui berkata, dia dan Sani akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi menyiasat kes berkenaan.

Beliau turut menyifatkan tindakan memberi keterangan itu sebagai tidak masuk akal.

"Kami percaya tiada sebarang pelanggaran undang-undang pada hari penyerahan memorandum berkenaan," katanya.

Sementara itu, Sani berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, mana-mana individu dibenarkan mengikut perlembagaan untuk berhimpun dan menyerahkan memorandum.

"Dalam keadaan yang terlalu hampir dengan pilihan raya ini, tindakan (memberi keterangan) ini menyusahkan dan menyukarkan kami," katanya.

Pada 21 Februari lalu, empat sayap Pemuda Pakatan Harapan (PH) menyerahkan memorandum mendesak ROS mempercepatkan kelulusan pendaftaran PH dan siasatan terhadap PPBM.

Memorandum berkenaan diserahkan Syed Saddiq kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Pertubuhan ROS, Mohd Rejab Ramli.

Lebih 50 ahli Pemuda mewakili empat parti dalam PH diketuai Syed Saddiq dan Wong berhimpun di luar perkarangan Kompleks D di Presint 1, di sini bagi menyerahkan memorandum berkenaan.

Mereka pada mulanya berkumpul di hadapan balai pengawal Kompleks D, kira-kira jam 2 petang sambil memegang poster memaparkan gesaan supaya ROS lebih telus dan berintegriti serta mempercepatkan siasatan terhadap isu berbangkit.

- BH Online

No comments

Loading...