Header Ads

Loading...

Tun M, Cermin Diri Sendiri Dulu


SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad diminta mencermin diri sendiri terlebih dahulu sebelum menuding jari menyalahkan pihak lain atas kelemahan diri sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, dakwaan disabotaj pihak tertentu bagi mengagalkan pendaftaran yang dilemparkan Pengerusi Bersatu itu, hanya memperlihatkan kelemahan parti itu.

"Tidak timbul unsur sabotaj terhadap Bersatu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagaimana dakwaan oleh Tun M.

“Sebenarnya Bersatu adalah parti kucar-kacir bukan sahaja dalam isu kepimpinan dan sokongan tetapi juga dalam soal pengurusan dan struktur,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Loading...


Beliau berkata, kelemahan parti itu amat ketara kerana mengadakan perhimpunan agungnya di saat akhir apabila dimaklumkan pendaftaran parti mungkin terbatal kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan.

“Mahathir sendiri mengakui masalah itu berpunca daripada kegagalan cawangan dan bahagian mengadakan mesyuarat tahunan masing masing. Memang misteri sekali apabila Bersatu mengadakan mesyuarat agung tahunan tanpa mengadakan mesyuarat tahunan di peringkat cawangan dan bahagian.

“Justeru bagaimana perwakilan ke perhimpunan agung pusat dipilih? Apakah yang hadir itu tangkap muat sahaja,” katanya lagi.

Menurut Mohd Puad, apa yang berlaku kepada Bersatu adalah kerana aduan yang dilakukan oleh ahlinya sendiri.

“Kalau DAP sendiri akur dan terpaksa mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti maka apa keistemewaan Bersatu untuk dikecualikan?,” soalnya.

Justeru, beliau berharap ROS tidak tunduk dengan sikap besar kepala yang cuba ditunjukkan oleh Bersatu.

Kelmarin, Mahathir daklam satu sidang media, mendakwa terdapat usaha pihak tertentu cuba mengagalkan pendaftaran Harapan dengan ROS.

Malah bekas perdana menteri itu juga menyatakan rasa hairannya, mengenai surat aduan yang dihantar lebih 400 ahli Bersatu kepada ROS yang mempertikaikan Mesyuarat Agung Bersatu (AGM) dikatakan tidak sah.

Sementara itu, seorang lagi ahli MT Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, dakwaan Mahathir itu hanyalah untuk meraih simpati dan cubaan memburukkan kerajaan pimpinan BN.


“Bagi saya perkara ini tidak timbul. Saya yakin dan percaya seperti mana ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, bahawa ROS melakukan siasatan secara profesional berdasarkan kepada laporan yang diterima dan memang jelas tindakan parti itu melanggar perlembagaan yang mereka sendiri adakan.

“Saya kira tuduhan Mahathir itu bermotifkan politik. sedangkan CEC DAP, Ros boleh luluskan selepas mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

“Cukuplah Dr Mahathir bermain politik dalam isu sebegini sebaliknya beliau perlu perbaiki kelemahan dalam parti itu sendiri. Jangan menuding jari pada pihak lain untuk menutup kesalahan mereka,” ujar beliau.


Dalam pada itu, Exco Pemuda Umno, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Bersatu tidak sepatutnya mendakwa disabotaj sedangkan parti itu sendiri tidak mampu menyelesaikan isu dalaman.

Beliau berkata, isu dalaman dihadapi Bersatu itu diumpamakan seperti krisis rumah tangga, di mana bapa penipu besar dan anak baru menyedari telah ditipu.

“Krisis Bersatu ini boleh di umpakan juga seperti rumah tangga yang bergaduh. Bapa dan anak bergaduh, anak lari cari orang ketiga buat laporan,” katanya.

Menurutnya, dalam hal ini Bersatu tidak sepatutnya menyalahkan ROS mahupun pihak lain dengan mendakwa disabotaj.
“Yang buat laporan terhadap kepimpinan Bersatu adalah kalangan pemimpin dan ahli mereka sendiri.  Bukan dilaporkan oleh orang luar,” katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...