Header Ads

Loading...

Tidak Pernah Komplot Lantik Mukhriz Jadi PM



KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah berkomplot dengan sesiapa untuk mengadakan ‘Perjanjian Rahsia’ atau ‘Pakatan Sulit’ dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang bagi menaikkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri sekiranya pembangkang menang PRU14.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, sekiranya beliau mempunyai niat seperti itu, pastinya ia dilakukan sejak beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri dan ketika Mukhriz masih muda.


Loading...

“Kalau saya punyai niat seperti itu, saya sudah lakukan apa sahaja dalam kuasa saya menaikkan karier politiknya. Sekiranya disemak dan diperiksa, Mukhriz cuma menjadi ahli Umno tidak lama sebelum saya menjadi perdana menteri. Ini kerana saya secara tegas menghalang anak-anak saya melibatkan diri dalam politik,” katanya melalui kenyataan saksi dalam kes saman fitnah yang dikemukakan  Mukhriz terhadap Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mukhriz selaku plaintif menyaman Tunku Aziz (defendan) berikutan dua kenyataan yang mendakwa wujud pakatan sulit dibuat Dr Mahathir dengan Lim Kit Siang.

Dr Mahathir menambah, dakwaan yang dibuat defendan adalah satu tohmahan dan kepalsuan sama sekali.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, pada Konvensyen Pakatan Harapan ke-2 yang berlangsung pada 7 Januari lalu, pakatan pembangkang sebulat suara menamakan beliau sebagai perdana menteri dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya kelak.

“Di manakah asasnya dakwaan defendan yang kononnya memperoleh maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai? Oleh itu defendan menyebarkan fitnah dan kepalsuan melalui dua kenyataannya,” katanya.

Sementara itu ketika disoal balas peguam Datuk Seri Jahabardeen Mohd Yunoos yang mewakili Tunku Aziz, Dr Mahathir menafikan beliau mempunyai pengetahuan berhubung dua kenyataan yang dibuat Tunku Abdul Aziz.

“Saya tidak tahu” katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...