Header Ads

Loading...

Srikandi BERSATU: Ada Pihak Tawar Dedak Untuk Jatuhkan Parti


Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini mendakwa ada pihak yang menawarkan imbuhan kepada salah seorang anggotanya untuk membuat sidang media memburukkan parti itu.

Ketua Srikandi BERSATU Rina Mohd Harun berkata, anggota tersebut bagaimanapun menolak tawaran itu dan menyerahkan bukti kepada pihaknya.

Beliau mendakwa pihaknya kemudian membuat laporan bersertakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dimaklumkan badan itu telah membuat tangkapan hari ini.


Loading...

"Srikandi ingin menzahirkan rasa bangga dan terharu atas keberanian seorang anggota kami yang telah tampil menyerahkan bukti tawaran imbuhan terhadapnya daripada pihak tertentu," katanya pada sidang media di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya, hari ini.

Rina mengingatkan mana-mana pihak yang bercadang untuk merasuah anggotanya agar menghentikan niat itu.

Beliau berkata, Srikandi BERSATU telah mengadakan 'operasi banteras dedak' untuk memantau sebarang cubaan menjatuhkan parti itu dengan cara seumpama itu.

Turut hadir pada sidang media adalah peguam Haniff Khatri Abdullah dan dua exco Srikandi, Sharifah Salmah Syed Agil dan Zuhuraina Makmur.

Ketika ditanya mengenai maklumat lanjut tentang perkara itu, Hanif berkata pihaknya masih tidak boleh memberikan apa-apa maklumat kerana kes dalam siasatan SPRM.

“Ini telah pun masuk dalam bidang kuasa siasatan SPRM, tangkapan telah dibuat dan siasatan sedang berlangsung ketika kenyataan akhbar ini diberikan.

"Dari aspek undang-undang, butiran kes tidak boleh dinyatakan melalui pihak yang terlibat sebagai pengadu. Berkaitan identiti pengadu dan suspek serta bentuk dan nilai imbuhan, boleh berhubung terus dengan SPRM," katanya lagi.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan kenyataan daripada SPRM berkenaan perkara ini.

Sumber: Malaysiakini

No comments

Loading...