Header Ads

PPBM Tidak Mampu Ganti UMNO - Najib


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mampu menggantikan UMNO dan memainkan peranan untuk menerajui negara.

Perdana Menteri berkata ini kerana pengurusan dalaman PPBM bercelaru apabila ia gagal mematuhi perlembagaan parti yang digubalnya.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, dari segi prinsip perlembagaan parti, beliau tidak nampak bagaimana PPBM yang gagal mematuhi perlembagaannya sendiri mampu mengambil alih peranan UMNO.


Loading...

"Saya diberitahu bahawa di peringkat cawangan dan bahagian (PPBM), mereka tidak mengadakan mesyuarat. Alih-alih peringkat nasional ada perhimpunan yang kita tidak tahu dari mana perwakilan itu datang.

"Maknanya pengurusan parti sendiri pun boleh dipersoalkan dari segi perlembagaan yang mereka sendiri tentukan, diluluskan mereka sendiri. Apakah ini petanda kemampuan mereka untuk menjalankan tanggungjawab lebih besar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Beliau mengulas sama ada PPBM mampu menggantikan peranan UMNO sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pimpinan negara.

Hadir sama Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden, Datuk Seri HIshammuddin Hussein; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Bendahari, Datuk Seri Salleh Said Keruak.


- BH Online

No comments

Loading...