Header Ads

Loading...

‘PKR Selangor Sedia Serah Kerusi, Jika Sekutu Bukti Boleh Menang’


PETALING JAYA: PKR Selangor sedia melepaskan sebahagian kerusi yang mahu ditandinginya kepada parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) dengan syarat mereka membuktikan peluang kemenangan di kerusi itu.

Ketua Wanita PKR negeri, Haniza Talha dipetik Oriental Daily berkata, parti itu tidak pernah mengehad atau menghalang permintaan parti sekutu untuk bertanding di sesebuah kerusi, tetapi pengagihan kerusi itu perlu dibuat berdasarkan faktor boleh menang.

“Matlamat kami ialah mencapai kemenangan. PKR terbuka, tetapi mereka (parti lain) perlu tunjuk mereka boleh menang, kemampuan dari segi jentera pilihan raya, calon atau pengundi kenal parti itu,” katanya pada sidang media pada Isnin yang turut dihadiri kira-kira 50 ahli dan Setiausaha PKR Selangor, Borhan Aman Shah.


Loading...

Perkelahian antara parti komponen PH tercetus selepas Amanah dan DAP negeri dilaporkan berkata, mereka tidak tahu 4 mesyuarat pengagihan kerusi DUN di Selangor sudah diadakan, seperti didakwa Azmin.

Jumaat lalu, Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata mereka hanya menghadiri 4 mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya PH yang membincangkan strategi untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor yang sepatutnya dimuktamadkan 31 Januari lalu, terpaksa dilanjutkan seminggu lagi susulan pertikaian itu.
Haniza yang juga adun Taman Medan itu berkata, PKR meminta kerusi lebih banyak untuk ditandingi kerana tinjauan pendapat menunjukkan parti itu mempunyai peluang kemenangan lebih tinggi dan ia adalah parti pemerintah di Selangor.

“Kami rasa cabaran agak getir untuk kawan-kawan baru seperti Amanah dan PPBM kerana mereka masih baru dan perlu kenalkan parti itu kepada pengundi, tetapi pengundi sudah kenal PKR,” katanya yang mewakili PKR dalam rundingan kerusi PH Selangor.

Ketua Wanita PH Selangor itu berkata, kerusi yang masih dalam peringkat rundingan ialah kerusi yang gagal dimenangi PKR dan ditandingan PAS pada pilihan raya umum ke-13.

“Matlamat kami ialah mempertahankan pemerintahan di Selangor dan memastikan calon bertanding boleh menang. Ini bukan perkara yang senang.”

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata, PKR berhasrat bertanding paling banyak kerusi DUN di Selangor, iaitu sekurang-kurangnya 21 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN, termasuk kerusi yang dimenangi dan tewas pada PRU13.

Pada PRU13, PKR memenangi 14 daripada 21 kerusi DUN yang ditandingi di Selangor, DAP memenangi 15 kerusi dan PAS menang di 15 daripada 21 kerusi ditandingi.

- Free Malaysia Today

No comments

Loading...