Header Ads

Pemerhati PRU14: Zaman Tun M Ok, Masa Najib Pula Tak Boleh?


IPOH - Pembangkang mendesak agar badan pemerhati asing dijemput memantau perjalanan PRU14 bagi memberi keyakinan kepada rakyat terhadap integriti pilihan raya yang bakal dijalankan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara itu bukan baharu kerana sebelum ini kerajaan pernah menjemput pemerhati pilihan raya antarabangsa untuk memantau PRU pada 28 tahun lalu.  

Loading...

Menurutnya, tindakan itu dilakukan selepas beliau membangkitkan isu berkenaan dalam Parlimen sama ada kerajaan bersedia mengundang pemerhati pilihan raya antarabangsa untuk PRU 1990 atau tidak.

“Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi perdana menteri bersetuju mengundang pemerhati antarabangsa dari Sekretariat Komanwel  dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi memerhati PRU 1990.

“Kenapa masa Tun Mahathir boleh  tetapi  zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Razak tak boleh?

"PRU mesti  bersih, bebas, adil dan berwibawa,”katanya ketika sidang media selepas program Kopitiam Ceramah di Restoran Kar Wong, hari ini.

Tambahnya, jika benar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan piawaian antarabangsa, kerajaan tidak perlu gusar dengan pemantauan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Kit Siang turut mempersoalkan jangka masa pendaftaran pemilih di negara ini  yang terlalu lama.


“Di New Zealand, pengundi masih dibenarkan mendaftar sebagai pemilih dua minggu sebelum mengundi manakala di United Kingdom, sehari sebelum mengundi masih boleh mendaftar.

“Negara kita pula ambil masa empat ke lima bulan untuk mendaftar. Sekarang SPR turut menggunakan sistem berkomputer dan menjalankan perkhidmatan atas talian, jadi sepatutnya ia lebih mudah,”katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sejumlah 3.6 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih setakat September tahun lalu.

- Sinar Harian 

No comments

Loading...